SENDIRI CARI PASAL SENDIRI MOHON MAAF

 

Nie Chin mohon maaf gara-gara ‘Lahabau Melaka, Jom Undi’

By

 Manzaidi Mohd Amin

 -

 9  November 2021



lahabau


Poster kempen Nie Chin tersilap bahasa dan dipadam dari layar Facebooknya.

KUALA LUMPUR – Perkataan ‘hawau’ tiba-tiba menjadi sebutan popular di Melaka selepas empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lompat parti sehingga menyebabkan kerajaan negeri itu tumbang dan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN).

Mengikut kamus, perkataan ‘hawau’ membawa maksud kata makian iaitu ‘celaka’ dan sebutan itu kemudian menjadi gurauan dalam kalangan pemimpin serta ahli politik.

Tidak ketinggalan untuk bergurau dengan loghat Melaka itu, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang memuatnaik poster kempen PRN dengan tersilap menulis ‘lahabau’.

Maksud ‘lahabau’ pula ialah tidak berguna, tidak boleh diharap, haprak.

Tanpa menyedari kesilapan berlaku, sebaik poster “Lahabau Melaka, Jom Undi” dimuatnaik dalam akaun Facebooknya, beliau diserang bertalu-talu oleh netizen.

Bagaimanapun, poster itu kemudian dipadamkan dan diganti dengan kenyataan mohon maaf dari beliau.

Dalam permohonan maaf atas kesilapan bahasa itu, bekas Timbalan Menteri Pendidikan dari bekas kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu memberi alasan larangan ketat berkempen pada PRN Melaka memaksakan beliau melakukan melalui media sosial.

Katanya, dalam keghairahan kempen media sosial itu, ramai petugas PH khususnya DAP, hampir tidak cukup tidur dalam usaha menyediakan bahan kempen.

“Namun, manusia tidak pernah lepas daripada kesilapan, termasuk diri saya sendiri. Akibatnya, terserlah kesilapan bahasa yang memalukan melalui media sosial.

“Saya cuma ingin berkempen melalui frame percuma yang boleh didapati di dalam Facebook tanpa memahami maksud sebenar perkataan tersebut.

“Dengan ini, saya dengan penuh rendah hati, memohon maaf atas kekhilafan menyiapkan dan memuatnaikkan bahan kempen yang telah tersalah menggunakan bahasa,” katanya.

Beliau berjanji akan lebih berhati-hati selepas ini dalam memuatnaikkan bahan-bahan kempen media sosial untuk PRN Melaka.

“Dengan menyusun sepuluh jari memohon maaf buat semua, terutamanya rakyat dan pengundi Melaka,” katanya.- MalaysiaGazette

 

No comments: