PEGUAM NEGARA TUNJUK JALAN YANG SALAH KEPADA PERDANA MENTERI?

 

Bagi yang peka dan bukan pekak, mereka tentu sedar bahawa asal usul tentang perlunya undi percaya dibentangkan di Parlimen untuk mengabsahkan Ahli Parlimen yang dilantik sebagai Perdana Menteri baru menggantikan Mahiaddin Md Yasin adalah datang daripada Yang Dipertuan Agong sendiri.

Agong bertitah berkenaan perkara tersebut pada 18 Ogos lalu, dua hari setelah Mahiaddin mengutus surat perletakan jawatannya dan ketika baginda dalam proses melantik Perdana Menteri yang baru.

Dalam titah yang disampaikan melalui kenyataan media oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, baginda bertitah, Perdana Menteri yang dilantik menerusi surat akuan atau SD daripada Ahli-Ahli Parlimen hendaklah “secepat mungkin” mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat.

Menurut baginda, langkah tersebut bertujuan mengabsahkan individu berkenaan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

“Surat akuan 220 Ahli Parlimen hanya bertujuan membantu Agong membuat keputusan melantik seorang Ahli Parlimen yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat,” kata kenyataan Istana Negara itu seterusnya.

Berdasarkan titah tersebut yang mudah difahami, tidak harus ada mana-mana berlagak lebih daripada Raja dengan berhujah kononnya tidak perlu lagi undi percaya dibentangkan di Parlimen setelah Perdana Menteri dilantik oleh Agong.

Hakikatnya, Agong sendiri yang mahukan perlantikan Perdana Menteri oleh baginda itu diabsahkan di Parlimen agar tidak timbul pertikaian yang berterusan mengenai kesahihannya.

Dengan yang demikian, kenyataan Peguam Negara, Idrus Harun yang menyebut tiada keperluan lagi usul undi percaya dibentangkan di Parlimen setelah perlantikan Perdana Menteri dibuat oleh Agong adalah tidak relevan sama sekali.

Kenyataan beliau bukan saja menunjukkan sikap derhakanya sekali lagi terhadap Agong setelah dalam era Mahiaddin sebelum ini beliau mempertikai kuasa baginda dalam memanggil sidang Parlimen, malah menunjukkan keghairahannya mahu mengampu Ismail Sabri.

Mungkin cubaan mengampu itu agar dirinya terus dikekalkan lagi sebagai Peguam Negara, tetapi ia dalam masa yang sama adalah tindakan merbahaya kepada masa depan Ismail Sabri sendiri.

Jika Ismail Sabri terperangkap dan setuju dengan pendapatnya itu, ia pasti akan mendedahkan beliau kepada penderhakaan yang sama kepada Agong, selain sengaja mengundang kecaman ramai.

Sebagai anak kelahiran Pahang, tentulah buruk benar rupanya jika Ismail Sabri turut derhaka kepada Agong yang juga merupakan Sultan Negeri Pahang.

Lantaran itu, Ismail Sabri tidak perlu sama sekali melayan pandangan Idrus itu kerana beliau lebih perlu menunjukkan kesetiaan kepada Raja berbanding sesiapa yang lain.

Untuk kebaikan masa depannya juga, adalah lebih baik Ismail Sabri mencari calon Peguam Negara yang baru berikutan Idrus telah cuba menunjukkan jalan yang salah kepadanya dari segi kesetiaan kepada Raja dan keperluan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri diabsahkan di Parlimen sebagai sebahagian daripada proses demokrasi yang jelas Agong sendiri lebih memahaminya.

Tidak dapat tidak, oleh kerana keperluan usul percaya itu adalah titah Agong, Ismail Sabri mesti melaksanakannya dan tidak sesekali cuba lari daripadanya.

Ismail Sabri harus belajar daripada apa yang dilalui Mahiaddin di mana tindakan cuba lari daripada menguji keabsahannya di Parlimen itulah yang akhirnya menjatuhkannya.

Hadapilah dengan keberanian ujian keabsahan melalui usul percaya di Parlimen agar kemudiannya tiada apa-apa lagi yang dapat menggugat kedudukannya – 


ShahbudinHusin 05/09/2021.



No comments: