Panas! Ini dua sebab Ismail Sabri takut hadapi undi percaya

 


Panas! Ini dua sebab Ismail Sabri takut hadapi undi percaya


Dua kesimpulan dapat dibuat jika Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob enggan mengadakan undi percaya di Dewan Rakyat, kata Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurutnya, kenyataan Peguam Negara Idrus Harun bahawa perdana menteri kesembilan, Ismail Sabri Yaakob tidak perlu mengadakan undi percaya di Parlimen bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini.

“Namun dengan pelantikan kabinet yang mengekalkan sebahagian besar watak-watak yang gagal (termasuk perlantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara) sebelum ini dan keengganan melakukan undi percaya – boleh disimpulkan ada dua kemungkinan.

“Pertama, Ismail Sabri tidak yakin sokongan BN, Perikatan Nasional (PN) dan GPS untuknya di dalam Parlimen.

“Kedua, Ismail Sabri langsung tidak mahu mempertimbangkan sebarang penambahbaikan yang dicadangkan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Pada 4 Sep, Idrus berkata pelantikan Ismail Sabri sebagai perdana menteri oleh Yang di-Pertuan Agong telah mengikut Perlembagaan Persekutuan dan tidak perlu kepada undi percaya di Dewan Rakyat.

Dia berhujah undi percaya perdana menteri boleh menjejaskan kuasa Seri Paduka.

“Sekiranya pelantikan perdana menteri yang baru masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Seri Paduka Baginda, ini bermakna kuasa mutlak Seri Paduka Baginda boleh diatasi oleh pihak lain.

“Langkah sedemikian adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Seri Paduka Baginda seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh hal yang demikian, berdasarkan kepada fakta-fakta dan kedudukan di atas, tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan YAB Perdana Menteri dan Kerajaan yang telah dibentuk menurut lunas undang-undang,” kata Idrus pada satu kenyataan, sebelum ini.

Dalam pada itu Nik Nazmi berkata undi percaya bukan perkara luar biasa bahkan perdana menteri ketiga dan kelima pernah melaluinya di Dewan Rakyat.

Menurutnya, perdana menteri ketiga, Hussein Onn dan perdana menteri kelima, Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini juga telah mengadakan undi percaya di Parlimen dan ini bukan perkara yang luar biasa.

Katanya, PH telah menyatakan kesediaan memberikan komitmen untuk tidak menyulitkan proses undi percaya bagi pentadbiran Ismail Sabri dengan syarat beliau melaksanakan agenda penambahbaikan dan dasar-dasar yang bersifat pro-rakyat.

“Sekalipun tidak diadakan undi percaya, Ismail Sabri akan berhadapan undi ucapan titah Tuanku dan Belanjawan yang dilihat sebagai menyamai undi percaya juga.

“Ismail sepatutnya mengambil peluang di awal pentadbirannya, membuka lembaran baru untuk bina kepercayaan dan keyakinan di kalangan semua pihak, sebagaimana dibuat di dalam pertemuan dengan PH, bukan dengan meneruskan tindakan Muhyiddin membelakangkan Parlimen,” katanya lagi.

Sumber | MK


No comments: