PERMINTAAN UNTUK DRON TENTERA BUATAN TURKI MENINGKAT MENDADAK SETELAH KEMENANGAN AZERBAIJAN DI NAGORNO-KARABAKH.

 


JAMZURI ARDANI


Sekitar 10 bulan yang lepas kita dikejutkan dengan kejayaan Azerbaijan mengambil semula wilayah Nagorno-Karabakh yang dikuasai oleh pejuang Armenia.

Setelah begitu lama, tentera Azerbaijan sering dikalahkan oleh Armenia tetapi kali ini ternyata kekuatan tentera Armenia di Nagorno-Karabakh yang menggunkan teknologi Rusia dengan mudah dikalahkan oleh Azerbaijan. Bagaimana ianya terjadi?

Jawapannya ialah teknologi dron milik Turki.

Azerbaijan tidak mendedahkan berapa banyak dron milik tentera negara itu yang dibeli dari Turki, tetapi mengakui bahawa kemenangan mereka ke atas Armenia bergantung banyak dengan bantuan dron tersebut.

Presiden Azerbaijan menyebut bahawa hanya dengan menggunakan dron yang dibeli dari Turki sahaja, pasukan tentera Azerbaijan berjaya memusnahkan peralatan ketenteraan Armenia bernilai USD1 billion.

Turki mula membangunkan sendiri teknologi ketenteraan berasaskan dron sejak beberapa tahun lepas dan ianya banyak membantu negara tersebut dalam beberapa operasi ketenteraan di dalam dan luar negara. Bagaimanapun, kejayaan Azerbaijan menguasai semula wilayah Nagorno-Karabakh adalah testimoni terbaik berkenaan teknologi kenteraan dron Turki.

Dron buatan Turki bukan sahaja berkesan, tetapi jauh lebih murah berbanding pesaingnya yang setara. Harga dron Bayraktar TB2 hanya sekitar USD 1 juta sebuah berbanding dron serupa buatan AS yang berharga USD20 juta sebuah.

Dron ini boleh membuat kerja-kerja risikan, melaksanakan operasi taktikal, dan operasi memusnahkan sasaran musuh. Ia boleh membawa peluru berpandu yang memusnahkan sasaran dengan ketepatan yang tinggi.

Selepas kemenangan Azerbaijan, Turki mula menerima tempahan dan permintaan yang meningkat terhadap dron ketenteraan buatannya. Antara pelanggan barunya ialah Ukraine, Poland, dan Albania.