Panas! Pemimpin Umno bedal Muhyiddin tiada pendirian politik, hanya nak duduk dalam kerajaan saja

 

Panas! Pemimpin Umno bedal Muhyiddin tiada pendirian politik, hanya nak duduk dalam kerajaan saja




NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai pendirian jelas dan tetap dalam pegangan politik.

Sebaliknya, beliau berkata, Muhyiddin selesa menukar-nukar pegangan semata-mata untuk menjustifikasi tindakannya untuk terus bertahan dalam kerajaan.

Mohamed Khaled berkata, beliau mengikuti kenyataan dari petikan ucapan Muhyiddin yang menjelaskan bahawa dirinya sebenarnya menyokong Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kerana tidak mahukan Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa dengan sokongan kumpulan kleptokrat.

Katanya, Muhyiddin mendakwa tindakan itu atas dasar ingin memastikan Perikatan Nasional (PN) kekal berkuasa, beliau memberikan sokongan kepada wakil dari Umno tersebut.

“Namun, terdapat beberapa perkara yang sangat canggung dalam penjelasan ini. Pertama, ia nampaknya sekadar satu cubaan terdesak untuk menggelapkan fakta atau mengalihkan perhatian masyarakat terhadap kegagalan Kerajaan PN di bawah beliau.

“Sedangkan hakikatnya, kejatuhan PN adalah disebabkan oleh desakan ketidakyakinan rakyat dan ia antara sebab penarikan sokongan oleh Umno,” katanya menerusi Facebook.

Tambah Mohamed Khaled, Muhyiddin sebenarnya sedar bahawa pendirian untuk menganggap Umno secara umum sebagai pendukung kleptorat adalah tidak benar.

“Malah sangat bercanggah dengan kesanggupan beliau yang kini kembali bekerjasama dengan ramai wakil Umno.

“Selain itu, penolakan beliau kepada PH dan sebahagian pemimpin Umno adalah bermusim dan sangat bersifat acuh tak acuh.

“Ini kerana, Perdana Menteri yang beliau sokong telah memutuskan untuk bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin PH atau pembangkang yang lain sebagai satu pendekatan baharu. Dan tidak terdapat sebarang bangkangan dari beliau dalam hal ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, ia jelas bahawa Muhyiddin sekadar memberi helah dan mahu mengelirukan semua pihak.

“Jadi dah diberi ruang dan peluang bertaraf Menteri, fokuskan sajalah kepada peranan dan tanggungjawab baru yang telah diberi,” katanya.

Semalam, Muhyiddin mendedahkan PH dengan sokongan kumpulan kleptokrat berkemungkinan kembali menjadi kerajaan sekiranya beliau tidak menetapkan pendirian dalam pemilihan Perdana Menteri baharu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, jika beliau dan Ahli-ahli Parlimen Bersatu tidak mengambil apa-apa pendirian dalam pemilihan Perdana Menteri baharu dan pembentukan kerajaan juga, Bersatu mungkin akan menjadi pembangkang.