Dua hari lalu Mahiaddin Md Yasin melontarkan keyakinan Perikatan Nasional atau PN mampu melakukan comeback atau kemunculan semula dalam PRU akan datang.
Untuk itu, tegasnya lagi, beliau akan terus mengetuai PN dalam PRU15 nanti.
“Pada masa itu, PN dan saya sebagai pengerusinya akan mengambil bahagian dalam pilihan raya.
“Insya-Allah, dengan izin Allah dan sokongan rakyat, we will make a comeback,” katanya dalam ucapan sempena ulang tahun kelima Bersatu.
Setentak itu, Mahiaddin menggesa semua anggota Bersatu untuk melakukan persiapan dan menumpukan usaha untuk memperkukuh parti di peringkat akar umbi.
Sebenarnya ini adalah kali kedua Mahiaddin bercakap tentang kemunculan semulanya dalam politiik selepas meletak jawatan, baru-baru ini.
Sebelum ini, dalam temubual dengan pengarang media sehari selepas meletak jawatan, beliau tidak menolak kemungkinan akan kembali memegang jawatan ketua kerajaan yang dilepaskannya itu.
“Kita tunggu,” katanya ringkas.
Beberapa persoalan mungkin berbangkit di sebalik hasrat Mahiaddin itu, antaranya:-
Pertama, masih adakah rakyat yang mahukan Mahiaddin jadi Perdana Menteri sekali lagi?
Jika rata-rata rakyat menolak, bahkan mengecam kegagalannya sebelum ini, bagaimana beliau mahu membuat comeback itu?
Tambahan lagi, kalau dulu beliau memimpin sebuah kerajaan yang gagal, apakah jaminan beliau tidak gagal kiranya diberi tanggungjawab mengurus kerajaan sekali lagi?
Kedua, Mahiaddin mahu bergabung dengan siapa untuk membolehkan PN kembali berkuasa dan menjadikan dirinya sebagai Perdana Menteri?
Di sebalik UMNO sudah menetapkan keputusan tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu, tidakkah dengan hasrat untuk comeback itu akan membuatkan UMNO lebih menolak PN kerana jika wujud kerjasama, ia hanya akan memberi laluan kepada tercapainya apa yang dihasratkan Mahiaddin itu?
Ketiga, oleh kerana sebelum ini Mahiaddin sendiri mengatakan pihaknya menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai penggantinya, adakah sekarang bermakna beliau mahu merampas semula jawatan itu?
Ismail Sabri mungkin ada sedikit rasa terhutang budi kepada Mahiaddin lantaran melantiknya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya menyokong pencalonannya sebagai Perdana Menteri, namun apakah Naib Presiden UMNO itu mahu berdiam diri saja bila ada orang mahu merampas jawatannya?
Keempat, dengan begitu pantas ada cita-cita untuk membuat comeback, apakah Mahiaddin merasakan dirinya jauh lebih hebat daripada Tun Mahathir Mohamad yang selepas bersara pada 2003 dulu tidak pernah pun mengeluarkan kenyataan ingin melakukan kemunculan semula, kecuali membuat keputusan kembali semula kerana didorong oleh beberapa perkembangan politik dalam negara kemudiannya?
Hebat sangatkah Mahiaddin yang hanya berpeluang 17 bulan memegang jawatan Perdana Menteri berbanding Tun Mahathir selama 22 tahun pada kali pertama dan 22 bulan kali kedua?
Akhirnya, sedar dirikah Mahiaddin tentang dirinya bila dia bercakap tentang comeback itu? – ShahbudinHusin 12/09/2021.