Rais saran gantung Ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara hadapi kes mahkamah

 

Faiz Zainudin
 -

Rais Yatim menyarankan kod etika penjawat awam turut dilaksanakan ke atas Ahli Dewan Negara, Dewan Rakyat dan ADUN. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim menyarankan ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang menghadapi pendakwaan di mahkamah, digantung sementara menunggu kes mereka selesai.

Cadangan itu menyusul saranan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk melakukan transformasi Parlimen.

Bagaimanapun, Rais mengakui langkah itu tidak mudah dilaksanakan kerana perbicaraan kes memakan masa lama.

“Kalau rayuan mahkamah memakan masa setahun lebih, macam mana kalau pilihan raya umum berlaku? Ini barangkali Perdana Menteri berfikir juga untuk masa depan negara,” katanya dalam program Ruang Bicara Bernama bertajuk “Transformasi Parlimen 62 tahun: Antara kenal huruf atau celik politik”.

Rais berkata, ia berbeza dengan penjawat awam akan digantung tugas jika mereka dihadapkan ke mahkamah.

Oleh itu, beliau menyarankan kod etika turut dilaksanakan ke atas Ahli Dewan Negara, Dewan Rakyat dan ADUN.

“Penting saya rasa kanun ini (kod etika) dijadikan satu perundangan dan dikenakan kepada yang menjadi YB, di mana hari pertama mereka mengangkat sumpah di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dikenakan syarat ini.”

Jumaat lalu, Ismail menawarkan tujuh cadangan transformasi Parlimen dan pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani Covid-19 serta memulihkan ekonomi negara.

Katanya, tawaran dan komitmen kerajaan itu sejajar titah Yang di-Pertuan Agong dan raja Melayu mengenai pentingnya pentadbiran stabil yang dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

Tawaran transformasi itu antara lain membabitkan jawatan Perdana Menteri dihadkan 10 tahun, menggubal rang undang-undang antilompat parti, pelaksanaan pindaan Undi18 dalam tempoh terdekat dan Ketua Pembangkang diberikan saraan serta kemudahan yang setara dengan menteri.