PH setuju meterai MoU ‘reformasi’ dengan kerajaan

 

Majlis Presiden Pakatan Harapan secara dasarnya bersetuju dengan memorandum persefahaman itu demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) bersetuju memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan, tetapi tertakluk kepada penambahbaikan yang perlu diperhalusi kedua-dua pihak sebelum dimuktamadkan.

Ini menyusul mesyuarat pemimpin pembangkang petang tadi untuk membincangkan pembaharuan dicadangkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, yang antara lain mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, memperkenalkan undang-undang antilompat parti dan wakil pembangkang turut menganggotai Majlis Pemulihan Negara.

Majlis Presiden PH berkata, ia secara dasarnya bersetuju dengan MoU itu demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat.

“Marilah kita menggembleng seluruh kekuatan untuk menangani pandemik Covid-19 dan mengatasi kemelesetan ekonomi yang melanda negara kita,” katanya dalam kenyataan bersama oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

PH berkata, satu siri pertemuan juga berlangsung antara wakil gabungan pembangkang itu dan wakil Perdana Menteri semalam yang membincangkan sejumlah perkara dasar serta program khusus, dengan penekanan diberikan kepada keperluan melakukan reformasi dalam bidang ekonomi dan kesihatan awam bagi menangani Covid-19.

“Isu urusan perjalanan Parlimen, soal pengabsahan dan perkara berkaitan penambahbaikan tatakelola kerajaan turut dibincangkan.”

Katanya, PH berpendirian suntikan fiskal tambahan sebanyak RM45 bilion perlu disalurkan kepada dana Covid-19 berjumlah RM65 bilion, yang kini hanya berbaki RM8.6 bilion untuk menangani pandemik itu dan membantu rakyat dari segi kewangan.

Gabungan itu turut mencadangkan pengecualian bayaran faedah ke atas moratorium pinjaman bank untuk golongan B40 dan M40.

Mereka turut membincangkan langkah reformasi politik yang perlu dimasukkan dalam MoU itu, antara lain termasuk memperkasakan pelaksanaan Undi18 sekarang, reformasi Parlimen dan kebebasan institusi kehakiman.

“Wakil-wakil turut membincangkan isu undi percaya serta mekanisme pemantauan pelaksanaan memorandum persefahaman ini.”

Pertemuan semalam disertai Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa serta Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz yang mewakili Perdana Menteri.

PH pula diwakili Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Setiausaha Organisasi DAP Loke Siew Fook, Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.