Buka semula sekolah: Langkah wajar utamakan keselamatan pelajar, kata NUTP

 

NUTP berharap semua guru akan terus memberi kepercayaan dan sokongan kepada Kementerian Pendidikan susulan pengumuman berhubung pembukaan semula sekolah mulai bulan depan.

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyifatkan keputusan membuka semula sekolah mengikut fasa di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada bulan depan amat wajar kerana Kementerian Pendidikan (KPM) mengutamakan keselamatan pelajar.

Setiausaha Agungnya, Wang Heng Suan berkata, tindakan itu juga memperlihatkan KPM berusaha sebaik mungkin bagi memastikan tidak timbul sebarang masalah ketika sekolah dibuka secara menyeluruh kelak.

Katanya, sebelum pengumuman rasmi berkenaan, NUTP turut terlibat dalam libat urus bersama menteri dan kumpulan pakar.

“Dalam sesi berkenaan, NUTP mengemukakan empat cadangan, antaranya akan bekerjasama dengan KPM untuk memberi nasihat kepada 2,500 guru yang tidak mahu menerima suntikan vaksin secara usaha sama (JV) dengan doktor pakar daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

“Garis panduan serta tugas kepada guru dan murid yang tidak mahu menerima vaksin apabila pembukaan semula sekolah bermula, serta pengetua, guru besar dan sekolah diberi kelonggaran mengikut kebijaksanaan mereka menguruskan proses penutupan sekolah sesi 2021 dan juga menentukan persiapan sesi pembukaan sekolah sesi 2022,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, katanya, latihan pedagogi sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang menyebabkan guru menghadapi tekanan, perlu diberi keutamaan KPM.

Beliau berkata, NUTP turut mencadangkan semua jenis penilaian kajian serta pelaporan seperti TS25 ditangguhkan.

“Semua cadangan itu disambut baik Menteri. Oleh itu, NUTP berharap guru turut memberi kepercayaan dan sokongan kepada Menteri dan KPM.”

Terdahulu, Radzi mengumumkan sekolah di negeri bawah Fasa 1 PPN dan kebanyakan sekolah di Fasa 2 kekal ditutup, manakala Fasa 3 dan 4 dibuka mengikut jadual pada 3 Okt ini.

Katanya, pembukaan semula sekolah akan menggunakan kaedah penggiliran secara mingguan dengan kapasiti kehadiran murid ditetapkan pada kadar 50% daripada jumlah keseluruhan.

Ini bermakna, setiap kelas akan dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu secara bersemuka serta PdPR mengikut giliran setiap minggu.

No comments: