Maka, benarlah kata l Ketua Persatuan Pencinta Alam (MNS)
Pahang, Noor Jehan Abu Bakar melalui Sinar hari ini yang berkata, ada dalang
dari dalam yang 'menghalalkan' penerokaan dan pencerobohan tanah di kawasan Hutan
Simpan Kekal di negeri ini. "Perasuah perlu ditebang, bukannya pokok
durian".
Kenyataan beliau itu selari dengan kenyataan tegas dari Ketua
Gerak Nasional, Datuk Mohamad Ezam Noor yang menyatakan isu pencerobohan tanah
oleh pekebun-pekebun di Raub itu lebih kepada mahu mencetuskan isu perkauman
bukannya mahu menyiasat sepenuhnya mengapa perkara itu dibiarkan berpuluh tahun
yang lalu?
Kenyataan dari kedua tokoh tersebut sukar untuk saya nafikan
apabila saya menoleh kembali ke belakang beberapa tahun yang lalu. Bukankah
suatu ketika kerajaan negeri juga terlibat menjayakan pesta dan karnival durian
di Raub, bahkan pernah dibawa ke Ibu Kota, Kuala Lumpur dalam pesta durian?
Bagaimana mungkin durian-durian dari 11,000 hektar di Raub yang
dibawa untuk karnival yang turut dihadiri oleh MB Pahang itu datangnya dari
"tanah haram"? Persoalannya, benarkah pekebun itu menceroboh tanah
haram atau di"beri kebenaran" untuk berkebun tetapi bukan percuma?
Kita bertanya, dulu boleh dan tidak disentuh, tetapi disaat rakyat
sedang menolak kerajaan sekarang ini, mengapa ianya ditimbulkan? Paling
memeningkan kita dikaitkan dengan Dap. Lebih pening lagi, ianya muncul di era
MP Raub itu dari Dap walaupun Melayu, sedangkan berpenggal-penggal sebelum itu
Parlimen Raub itu diwakili oleh MCA dari kaum Cina. Waktu MCA jadi MP Raub,
tiada kebun durian Musang King yang ditanam di tanah haram? Jadi haram bila Dap
jadi MP?
Cukuplah bermain dengan isu perkauman. Jika mahu telus, buatlah
setelusnya bukan separuh masak. Jangan ada tuduhan terpilih. Gunakan budi
bicara bila menghulum dan letakkan keadilan itu pada tempatnya. Jangan
dimusnahkan hasil yang Allah turunkan hanya kerana mengikut nafsu amarah dan
kepentingan politik semata-mata.
WFAUZDIN NS