Gagal kemudi kerajaan urus Covid-19, PH desak Muhyiddin lepas jawatan serta-merta


Kenyataan Majlis Presiden PH itu ditandatangani bersama oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohammad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan serta-merta susulan kegagalan mengemudi kerajaan selepas kes jangkitan Covid-19 dan kematian meningkat walaupun darurat dan pelbagai perintah kawalan pergerakan (PKP) sudah dibuat.

Menerusi kenyataan, Majlis Presiden PH berkata, rakyat dan negara tidak harus mengalami musibah sedemikian semata-mata kerana kepemimpinan kerajaan yang gagal.

“Pakatan Harapan menuntut agar Perdana Menteri mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan-kegagalan ini dan meletakkan jawatan serta-merta.

“Rakyat dan negara tidak harus mengalami musibah sedemikian rupa semata-mata kerana kepemimpinan Kerajaan dan Perdana Menteri yang gagal, apatah lagi selepas Perdana Menteri kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen dan seterusnya kehilangan keabsahan bagi memegang jawatan tertinggi tersebut,” kata kenyataan ditandatangani bersama oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohammad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Katanya, keadaan negara diburukkan lagi dengan prosedur operasi standard (SOP) mengelirukan, penguatkuasaan yang lemah dan terpilih, serta kebenaran kepada kilang-kilang untuk terus beroperasi walaupun ia antara penyumbang terbesar kluster Covid-19.

“Rakyat terus merana. Begitu ramai yang telah mengangkat bendera putih kerana hilang pekerjaan atau pendapatan.

“Bantuan Kerajaan demi kelangsungan hidup rakyat tidak mencukupi. Terlalu ramai yang telah putus asa, malah begitu ramai yang telah membunuh diri.

“Jika dibenarkan berterusan tanpa sebarang perubahan, apa yang diungkap rencana Bloomberg hari ini bahawa Malaysia menjurus ke arah ‘negara gagal’ kian menjadi realiti. Ini tidak boleh dibenarkan berlaku,” kata kenyataan itu.

Kementerian Kesihatan hari ini melaporkan rekod tertinggi 9,180 kes baharu Covid-19 dan 77 kematian dalam tempoh 24 jam lalu.

Ia jangkitan harian tertinggi setakat ini. Rekod terdahulu dicatat pada 29 Mei lalu dengan 9,020 kes harian.

No comments: