ISMAIL SABRI – ALAT MAHIADDIN UNTUK PECAHKAN UMNO ATAU ALAT UMNO UNTUK CEPAT RAMPAS KERUSI PM?


Siapa sebenarnya Ismail Sabri Yaakob dalam perkelahian politik antara UMNO dengan Mahiaddin Md Yasin sekarang ini?

Pada awalnya, ketika nama beliau diumumkan secara mengejut sebagai Timbalan Perdana Menteri beberapa jam menjelang mesyuarat MT UMNO Rabu malam yang lalu, ramai yang melihat perlantikannya adalah untuk Mahiaddin meredakan suhu panas dan penolakan parti itu terhadapnya.

Berikutan MT UMNO pada Februari lalu telah membuat ketetapan menolak sebarang tawaran atau melobi jawatan nombor dua dalam kerajaan itu, perlantikan Ismail Sabri juga ditanggapi sebagai strategi Mahiaddin untuk memecah-belahkan parti itu.

Ia khususnya kerana UMNO memang diketahui sudah terpecah kepada dua kelompok – kluster kabinet dan kluster mahkamah – satu pihak mahu meneruskan sokongan terhadap Mahiaddin sehingga Parlimen dibubarkan dan satu pihak lagi mahu penarikan sokongan dilakukan serta-merta.

Menjelang mesyuarat MT Rabu lalu, pertembungan dua kumpulan itu amat ketara di mana selain Zahid Hamidi sibuk mengatur pertemuan demi pertemuan bagi mendapatkan sokongan untuk UMNO membuat ketetapan menarik sokongan secara serta-merta, Ismail Sabri juga tidak kurang rancaknya mengadakan perjumpaan.

Antara perjumpaan itu ialah yang diadakan di kediamannya selaku Menteri Pertahanan di Jalan Bellamy, berhampiran lokasi lama Istana Negara pada 3 Julai lalu.

Dengan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, tidak sukar meramalkan pertembungan antara beliau yang disokong oleh semua Ahli Parlimen UMNO yang memegang jawatan kerajaan dengan kem Zahid Hamidi yang dsokong kuat oleh Najib Razak pasti akan lebih memuncak.

Namun demikian, walaupun setelah Ismail Sabri dilantik Timbalan Perdana Menteri, mesyuarat MT UMNO akhirnya berjaya memuktamadkan keputusan menarik sokongan terhadap Mahiaddin dengan serta-merta.

Dengan itu, ada yang melihat keputusan tersebut sebagai kejayaan Zahid Hamidi dan perlantikan Ismail Sabri dianggap gagal menyelamatkan nasib Mahiaddin daripada diceraikan oleh UMNO.

Meski daripada segi prinsip dan moralnya, penarikan sokongan serta-merta itu menyebabkan Mahiaddin seharusnya berundur sebagai Perdana Menteri, tetapi disebabkan ia tidak disertai dengan arahan meletak jawatan kepada semua Ahli Parlimen UMNO yang berada dalam kerajaan, kedudukan Perdana Menteri seolah-olah tidak terjejas langsung dengan keputusan MT itu.

Ia kemudian diperkukuhkan lagi dengan kenyataan oleh Peguam Negara, Idrus Harun bahawa Perdana Menteri hanya boleh dijatuhkan di Parlimen, bukan melalui kenyataan media oleh mana-mana ketua parti politik.

Dilihat tambah tidak terjejas kedudukan Mahiaddin apabila Zahid Hamidi juga menyatakan keputusan MT turut menetapkan untuk memberi kebebasan kepada Ahli Parlimen UMNO dalam sebarang pengundian di dalam Parlimen.

Keadaan ini memperlihatkan Mahiaddin sepertinya bakal kekal sehingga Parlimen dibubarkan dan belum pasti juga dapat dijatuhkan jika Perdana Menteri tiba-tiba jadi berani dan membenarkan usul undi tidak percaya dibentangkan terhadapnya.

Kenyataan Zahid Hamidi yang memberi kebebasan dalam pengundian itu dengan mudah difahami sebagai memberi kelebihan kepada Mahiaddin kerana sudah pasti Ahli Parlimen UMNO yang berjawatan dalam kerajaan, khususnya Ismail Sabri yang baru dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, tidak mungkin sampai hati untuk mengundi menjatuhkan Mahiaddin.

Begitu pun, walau hanya berbekalkan senjata menarik sokongan semata-mata yang tidak disertai arahan meletak jawatan dan kewajipan untuk Ahli Parlimen UMNO patuh kepada ketetapan mengundi mengikut hasrat parti di Parlimen, desakan agar Perdana Menteri meletak jawatan tetap diteruskan dan nampaknya seperti tidak akan berkesudahan.

Selain didesak berundur, naratif UMNO kemudiannya sedikit demi sedikit mula berubah dengan cuba menonjolkan Ismail Sabri adalah pengganti Perdana Menteri jika Mahiaddin berjaya diundurkan.

Menoleh ke belakang, inikah sebabnya Ismail Sabri sedia melanggar ketetapan MT sendiri dengan menerima jawatan Timbalan Perdana Menteri yang ditawarkan Mahiaddin?

Tambahan lagi, selain penerimaan jawatan Timbalan Perdana Menteri itu direstui Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO, mesyuarat MT yang membuat keputusan menarik sokongan terhadap Mahiaddin turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ismail Sabri.

Diberitakan Ismail Sabri juga menemui Zahid Hamidi beberapa jam sebelum mesyuarat MT diadakan untuk mendapatkan restu dan sokongan, sementara khabar lain menyebut, Najib juga turut ditemuinya untuk tujuan yang sama.

Apa sudah jadi kepada UMNO, daripada lebih setahun menolak jawatan Timbalan Perdana Menteri, tetapi tiba-tiba saja boleh berubah fikiran dengan memberi sokongan dan merestui Ismail Sabri menerima jawatan itu?

Apakah jika Hishammuddin Hussein yang ditawarkan jawatan tersebut, Zahid Hamidi, Najib dah UMNO masih sedia memberi sokongan dan restu?

Dalam hal ini, apakah Ismail Sabri sedang dipersiapkan dengan penuh strategi oleh UMNO untuk merampas jawatan Perdana Menteri dalam tempoh terdekat ini melalui tekanan yang akan terus dipertingkatkan terhadap Mahiaddin?

Apakah kedudukan Ismail Sabri yang tidak begitu kontroversi, boleh diterima pelbagai pihak dan mudah untuk dikira bicara menyebabkan UMNO, khususnya Zahid Hamidi dan Najib sedia untuk menonjolkannya bagi pertaruhan merampas jawatan Mahiaddin?

Tetapi, apakah Mahiaddin benar-benar mahu berundur atau beliau sebetulnya sudah tidak begitu sihat untuk terus menerajui negara sejak keluar hospital baru-baru ini?

Kalau mahu berundur pula, apakah beliau sedia menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada pemimpin daripada parti yang telah membuat ketetapan rasmi tidak menyokong dan mahu menjatuhkannya?

Apa nasib Bersatu, Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali khususnyandalam PRU15 akan datang jika jawatan Perdana Menteri sudah diserahkan kepada pemimpin UMNO?

Damaikah hati dan lenakah tidur malam Mahiaddin, katalah jika benar beliau mahu menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Ismail Sabri?

Daripada aspek yang lain, dengan kedudukan Ismail Sabri sekarang yang dilihat seumpama “double agent” – antara alat kepada Mahiaddin untuk memecah-belahkan UMNO, melemahkan Zahid Hamidi serta kluster mahkamah dengan dalam waktu yang sama merupakan alat kepada UMNO untuk merampas jawatan Perdana Menteri, apakah nasib beliau akhirnya?

Berjaya dalam salah satu misinya atau akan mati di tengah-tengah? 


(ShahbudinHusin 09/07/2021


No comments: