Tangguh kongres PKR, PN takut bayang-bayang sendiri
Perintah untuk menangguhkan Kongres Nasional KEADILAN mungkin berpunca daripada ketakutan kerajaan Perikatan Nasional kepada bayang-bayang mereka sendiri.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tidak berlaku sebarang pelanggaran Prosedur Standard Operasi (SOP) Covid 19 dalam penganjuran Kongres Wanita mahu pun Angkatan Muda KEADILAN sebelum itu yang mewajarkan Kongres Nasional ditangguhkan.
“Kongres Nasional parti yang dijalankan sepenuhnya secara maya adalah suatu amalan demokrasi yang sihat dan patuh sepenuhnya dengan arahan-arahan PKP 3.0 (lockdown). Oleh itu, arahan pembatalan yang dikeluarkan (oleh Majlis Keselamatan Negara) menggambarkan cara berfikir melawan arus serta rasa takut dengan bayangan sendiri.
“Walau apa pun yang berlaku, kepimpinan Parti Keadilan Rakyat dan seluruh jentera akar umbi Negeri Sembilan akan sentiasa komited serta terus mendukung prinsip-prinsip demokrasi, menegakkan keadilan, memahami aspirasi rakyat dan membela nasib mereka dengan azam yang jelas di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan.
Oleh yang demikian, Aminuddin menyeru ahli dan penyokong KEADILAN agar berdiri teguh di belakang Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam meneruskan perjuangan menuntut reformasi total di negara ini.
““Keadilan” itu membawa erti kehidupan yang sangat penting iaitu meletakkan hak pada tempatnya. Maka yang demikian, ayuh semua anggota Parti Keadilan Rakyat, khususnya di Negeri Sembilan – terus kita berdiri teguh di dalam saf perjuangan ini bersama Datuk Seri Presiden bagi mengangkat hak rakyat dan memartabat perjuangan parti,” katanya lagi.