Kurangkan jiwa ‘banker’, Puad beritahu Zafrul

 

Puad Zarkashi mempersoalkan kenyataan Tengku Zafrul Aziz yang kerajaan tidak boleh memaksa dan mengawal bank dalam isu moratorium pinjaman.

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi meminta Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz mempelajari cara menjadi pemimpin yang memahami rakyat, bukannya berjiwa pegawai bank.

Beliau berkata demikian dalam catatan Facebook sebagai mengulas kenyataan Zafrul yang tiada lanjutan pelaksanaan program i-Sinar dan i-Lestari oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Puad berkata, rakyat sedar KWSP bukan institusi kewangan seperti bank.

Tetapi, beliau mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menjadikan KWSP seperti bank dan rakyat hanya mahu mengeluarkan sedikit simpanan mereka untuk menempuh situasi sukar.

“Tengku Zafrul kata KWSP bukan bank, rakyat memang tahu. Rakyat bukan mahu keluarkan caruman mereka setiap hari.

“Masalahnya, kerajaan PN yang jadikan KWSP macam bank. Kalau rakyat dah tengah susah, kenapa nak keluarkan sikit pun tidak boleh?

“Betullah itu simpanan hari tua. Tua sampai bila? Sampai mereka mati kebuluran?” soalnya dalam catatan di Facebook.

Mengenai isu moratorium pinjaman bank, Puad turut mempersoalkan kenyataan Zafrul yang kerajaan tidak boleh memaksa dan mengawal bank.

“Tengku Zafrul kata kerajaan tidak boleh paksa bank. Kerajaan tidak kawal bank. Bukankah kerajaan yang keluarkan lesen bank?” soalnya.

“Zafrul kena belajar makna ‘pemimpin berjiwa rakyat’, bukan pemimpin berjiwa ‘banker’.”

Minggu lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, hasil perbincangan bersama Bank Negara Malaysia, industri perbankan memberi jaminan dan komitmen penuh untuk terus memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman serta moratorium.

Katanya, golongan B40 dan rakyat terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan penuh diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan atau mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50% selama enam bulan.

No comments: