POSTED BY AMIR WRLR
Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin dipersoalkan kerana pengumuman
pemberian laptop kepada murid-murid yang mengikuti sesi Pengajaran dan
Pembelajaran di Rumah, jumlahnya sama dengan yang diumumkan pada April lalu.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, jumlah 2,887 laptop tersebut telah pun diberitakan oleh portal The Malaysian Reserve pada 25 April bahawa "13,000 peranti telah diserahkan kepada jabatan-jabatan pendidikan negeri", daripada jumlah besar 150,000 unit yang diumumkan oleh Menteri Kewangan pada November 2020.
Manakala, menurut portal berkenaan, tambahan 37,000 peranti lagi dijangka dihantar menjelang akhir Mei dan bakinya akan diagihkan selepas itu.
"Namun pada 6 Jun 2021, 7 bulan dan 1 hari selepas pengumuman Tengku Zafrul, Dr Radzi Jidin memaklumkan bahawa jumlah laptop yang telah diberikan hanyalah 12,887 unit (8.6%), 40,290 unit (26.9%) akan diagih menjelang 12 Jun, dan baki 96,823 unit (64.5%) hanya dijangka diserahkan menjelang ‘akhir September’ (sumber: Malaysiakini)
"Jika dua laporan berita ini adalah benar, bermaksud sejak 25 April hingga hari ini, iaitu 43 hari, tiada unit peranti baru yang diserahkan.
"Malah jika kita ambil secara harfiah kenyataan wakil Yayasan Hasanah di dalam laporan The Malaysian Reserve, ia bermaksud sejak 25 April, jumlah peranti yang diserahkan telah berkurangan 113 unit.
"Jadi sebenarnya tidak ada apa-apa benda baru berkaitan program laptop yang diumum Radzi Jidin," kata Fahmi dalam kenyataan di Facebook.
Bagi Pengarah Komunikasi KEADILAN itu, kelemahan menjolok mata seperti itu akan ditanyakan dan dipersoal sekiranya Parlimen bersidang.
Tanpa sidang Parlimen, katanya, prestasi agensi kerajaan dan kementerian tidak boleh diawasi dan kecuaian mereka tidak boleh diperbetulkan.
"Inilah mengapa Parlimen wajib bersidang. Jika soalan Ahli-ahli Parlimen seawal Mac berkaitan pemberian 150,000 laptop ini dijawab dengan telus oleh Menteri Kewangan dan Menteri Pendidikan, sudah pasti rakyat Malaysia akan tahu lebih awal bahawa cara pemberian peranti pinjaman yang diusahakan Kerajaan PN ini telah gagal.
"Dan tidaklah kita tertunggu-tunggu atau tertanya-tanya seperti yang berlaku sekarang.
"Saya gesa kerajaan yang ada sekarang ini untuk bukan sahaja rombak cara pemberian yang teramat lambat, malah tukar dasar program iaitu dari pinjaman kepada pemberian terus kepada pelajar B40," katanya lagi.