KALAU BENAR MAHU AGONG CAMPURTANGAN, JATUHKANLAH MAHIADDIN LEBIH DULU…

 

Rasa meluat rakyat kepada kegagalan PN sebagai kerajaan, seterusnya disertai keinginan untuk mendapat kerajaan dan Perdana Menteri baharu kini boleh dikata sudah berada di tahap paling maksima yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ia sehingga ke peringkat ada yang merayu dan mengutus surat kepada Yang Dipertuan Agong agar baginda sebagai ketua negara dapat berbuat sesuatu memilih kerajaan dan Perdana Menteri baharu bagi tujuan menyelamatkan negara dan nasib rakyat dalam kadar yang sesegara mungkin.

Di media sosial pula, lebih ramai yang tampil secara peribadi menulis kata-kata rayuan kepada Agong dengan maksud serta tujuan yang sama.

Realiti ini memperlihatkan PN sebagai kerajaan dan Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri benar-benar sudah gagal dan ditakrif tidak lagi berfungsi.

Sebagaimana disebut banyak kali dalam tulisan dan artikel sebelum ini, inilah kerajaan dan Perdana Menteri terburuk sekali yang pernah ada dalam sejarah negara sejak merdeka.

Meskipun negara mengamalkan demokrasi berparlimen dan rakyat pada hakikatnya mempunyai hak serta kebebasan tertentu, tetapi dengan Mahiaddin menguatkuasakan darurat yang bersekali dengannya Parlimen turut digantung dan ia akhirnya difahami serta disedari lebih bertujuan melindungi kuasanya berbanding untuk memerangi Covid19, semuanya jadi terbatas dan tersekat begitu saja.

Tidak cukup dengan itu, di bawah ordinan darurat ini, melalui penguatkuasaan undang-undang yang diperketatkan, kemungkinan seseorang itu dihukum, didenda tinggi dan dipenjara lebih terbuka lagi.

Lantaran itu, selain seruan agar rakyat terus bangkit menuntut perubahan dan menolak PN dan Mahiaddin ini bila tiba waktu pengundian sentiasa berterusan, jalan terakhir ialah merayu dan meminta campurtangan Agong, tentunya dengan harapan agar derita serta sengsara di perintah oleh kerajaan gagal ini dapat dipercepatkan titik akhirnya.

Tetapi, meskipun kini semakin banyak pihak tampil menulis surat dan merayu kepada Agong, termasuk lebih awal daripada itu PH yang dipimpin Anwar Ibrahim sendiri telah berbuat demikian dengan tuntutan agar Parlimen dapat dikembalikan fungsinya untuk bersidang, apakah semua usaha ini akan memungkinkan berlakunya perubahan?

Secara amnya, memang tidak salah meminta campurtangan Agong atau menulis surat kepada baginda, namun harus juga difahami negara ini mengamalkan demokrasi berparlimen dengan Agong adalah ketua negara, sementara Perdana Menteri merupakan ketua kerajaan.

Sebagai ketua negara, sebarang tindakan atau keputusan Agong mestilah atas nasihat Perdana Menteri atau Mahiaddin selaku ketua kerajaan.

Dalam erti kata yang lebih mudah, Agong hanya berurusan dengan Perdana Menteri dalam semua urusan yang melibatkan kepentingan serta masa depan negara.

Agong juga tiada kuasa memecat Perdana Menteri, melainkan Perdana Menteri sendiri yang sedia meletakkan jawatan atau jika dinasihatkan oleh baginda berbuat demikian.

Namun demikian, melainkan kiranya berlaku keadaan yang cukup kritikal, malah tidak ada dalam catatan sejarah sebelum ini di mana Agong pernah meminta atau menasihati Perdana Menteri untuk meletakkan jawatan.

Bahkan, dalam kes Tun Mahathir Mohamad meletakkan jawatan pada 2020 dahulu, Agong sebaliknya yang menasihati bekas Perdana Menteri itu agar tidak meletakkan jawatannya.

Agong hanya akan campurtangan untuk memilih ketua kerajaan baharu jika Perdana Menteri sudah meletakkan jawatannya.

Campurtangan Istana ini bukan saja pernah berlaku di peringkat persekutuan ketika Tun Mahathir meletakkan jawatan pada 2020 lalu, malah juga di beberapa negeri setelah berlakunya Menteri Besar atau Ketua Menteri dijatuhkan terlebih dahulu.

Maka itu, meskipun wujudnya kecenderungan meminta campurtangan Agong itu memperlihatkan suara derita rakyat yang kian merata mahukan perubahan dan gambaran tidak tahan lagi terus diperintah oleh sebuah kerajaan yang gagal, realitinya adalah sukar, bahkan hampir mustahil untuk mengharapkan berlaku apa-apa.

Apa-apa kemungkinan untuk berlaku mesti dimulai dengan Mahiaddin dijatuhkan terlebih dahulu, selepas itu barulah tiada pilihan untuk Agong campurtangan memulihkan keadaan.

Tidak perlu menunggu Parlimen dibuka atau bersidang terlebih dahulu untuk menjatuhkan Perdana Menteri kerana sebagaimana Tun Mahathir telah dijatuhkan hanya melalui gerakan di sebuah hotel dan beberapa ketua kerajaan negeri sebelum ini pula ditumbangkan melalui kesepakatan yang tak kelihatan, maknanya di mana-mana pun seseorang pemimpin itu boleh ditumbangkan.

Tanpa adanya gerakan atau kesepakatan untuk menjatuhkan Mahiaddin, adalah sukar untuk Agong campurtangan dan sudahnya jika Perdana tidak dijatuhkan, kita akan terpaksa melalui derita ditadbir kerajaan gagal ini lebih lama lagi sehinggalah detik PRU15 yang entah bila tarikhnya akan ditentukan. 


(ShahbudinHusin 07/06/2021)


No comments: