Selamatkan kawasan selatan Pulau Pinang daripada dimusnahkan – Nelayan

 

Projek pembangunan ini bukan sahaja mengancam perkerjaan nelayan tetapi juga bakal membawa kemusnahan kepada alam sekitar

By

 Aliran admin

 -

ARTIKEL INI DISIARKAN PADA 3 JUN 2021   LEPAS. NAMUN UNTUK KEFAHAMAN PEMBACA BLOG WRLR, IANYA DITERBITKAN SEMULA UNTUK PEMBACA YANG BUDIMAN

 


Zakaria Ismail is the head of the Sungai Batu Fishermen's Unit - ANIL NETTO/ALIRAN


Unit Nelayan Sungai Batu serta Unit Nelayan Teluk Kumbar yang berpengkalan di selatan Pulau Pinang menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah dan Ahli Parlimen Kepala Batas Reezal Merican berhubung dengan bantahan serta kritikan terhadap projek Penang South Reclamation.

Pihak kami amat berterima kasih dengan ucapan dan pandangan kedua-dua YB yang memahami perasaan nelayan dan bersolidariti bersama kami dalam mempertahankan sumber pendapatan kami serta memelihara sumber-sumber laut.

Unit Nelayan Sungai Batu serta Unit Nelayan Teluk Kumbar merupakan unit nelayan yang bakal terkesan secara terus jika projek Penang South Reclamation ini dijalankan.

Pihak kami telah melakukan pelbagai siri bantahan terhadap projek ini kerana kami sedar segala keburukan yang bakal terjadi kepada komuniti kami dari sudut kelangsungan hidup serta dari sudut kemusnahan alam sekitar dan perubahan iklim.

Pada waktu pandemik melanda negara kita ini yang menyebabkan banyak industri tidak dapat berfungsi serta menyebabkan ramai orang hilang punca pendapatan, perkerjaan nelayan ini terbukti sebagai satu perkerjaan yang utuh dan mampan kerana masih dapat membantu komuniti setempat dalam membekalkan ikan pada harga yang rendah dan tidak membebankan komuniti setempat yang mempunyai masalah kewangan.

Pekerjaan nelayan juga merupakan satu alternatif kepada komuniti setempat yang telah hilang punca pendapatan ataupun mempunyai masalah ekonomi sewaktu negara kita dilanda pandemik ini.

Umum mengetahui bahawa sewaktu negara kita dilanda oleh pandemik ini antara masalah yang menjadi kerisauan ramai pihak adalah isu jaminan keselamatan makanan (food security) kita pada jangka masa yang panjang.

Support the struggle to build a Malaysia based on Justice, Freedom, Solidarity:

·         Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both

·         Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948

·         Schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter

·         Become an Aliran member

Dari satu sudut, negara kita bakal ditekan oleh isu jaminan keselamatan makanan jika kita tidak menguruskan sumber-sumber kita dengan baik.

Dan dari sudut yang lain pula, sumber-sumber perolehan makanan kita semakin ditekan oleh pembangunan yang tidak terkawal serta pencemaran.

Pihak kami ingin menggesa pihak kerajaan negeri untuk memikirkan semula percaturan mereka di dalam merancang pembangunan di Pulau Pinang dan membatalkan projek Penang South Reclamation ini demi untuk kelangsungan hidup komuniti nelayan serta rakyat Pulau Pinang pada masa hadapan kerana manusia ini lebih memerlukan makanan daripada pembangunan.

Pihak kami juga ingin mencadangkan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang supaya menjadikan kawasan Pulau Pinang Selatan ini sebagai pusat penghasilan makanan laut.

Selain itu, pihak kami juga menzahirkan kebimbangan terhadap komuniti nelayan di utara Perak kerana aktiviti pengambilan pasir yang bakal dirancang untuk menambak kawasan tiga pulau ini adalah daripada kawasan utara Perak iaitu dari kawasan Tanjung Piandang sehinggalah ke kawasan Pantai Pasir Panjang.

Pihak kerajaan negeri Pulau Pinang serta pihak pemaju yang terlibat langsung tidak mengambil peduli serta mendengar suara nelayan di kawasan utara Perak yang juga bakal terjejas daripada projek penambakkan ini. Komuniti nelayan di kawasan tersebut seolah-olah tidak terbela kerana tidak ada langsung rundingan ataupun kenyataan dari pihak kerajaan negeri Pulau Pinang, sedangkan komuniti nelayan di sana juga merupakan mangsa kepada projek ini.

Pihak kami juga menggesa mana-mana ahli Parlimen ataupun ahli dewan undangan negeri di Malaysia untuk turut membantu dan mendengar suara komuniti nelayan di utara Perak.

Akhir sekali, kami juga ingin mengingatkan kepada pihak kerajaan negeri dan juga pihak pemaju bahawa kami sebagai nelayan tidak akan berhenti berjuang dalam mempertahankan laut tempat kami mencari rezeki.

Pihak kami juga menyeru kepada semua ahli Parlimen, ahli dewan undangan negeri, aktivis, NGO, para akademik dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama bersolidariti dengan nelayan di kawasan selatan untuk mempertahankan kawasan selatan Pulau Pinang daripada dimusnahkan oleh projek pembangunan yang bukan sahaja mengancam perkerjaan kami tetapi juga bakal membawa kemusnahan kepada alam sekitar.

 

Roslizan Ramli ialah ketua Unit Nelayan Teluk Kumbar manakala Zakaria Ismail ialah ketua Unit Nelayan Sungai Batu

No comments: