[Status Hadis Muliakan Sultan]
A. Riuh di media sosial berkenaan dengan hadis yang dikongsikan
oleh JAKIM di FB berkenaan hadis di dalam gambar ini. Ramai juga yang
menghantar mesej bertanya saya tentang statusnya. Di kesempatan ini, ingin saya
jelaskan status hadis ini secara ringkas memandangkan kesibukan tugas rasmi di
universiti:
1. Hadis dengan lafaz yang dikongsikan oleh JAKIM berkenaan
diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Shu’ab al-Iman, Ibn Abi ‘Asim di dalam
al-Sunnah melalui jalur Sa’ad bin Aus dari Ziyad bin Kusaib dari Abu Bakrah.
Lafaz penuhnya ialah seperti berikut:
السلطان ظل الله في الأرض فمن أكرمه أكرم الله ومن أهانه أهانه
الله
Maksudnya: “Sultan ialah bayangan Allah di bumi, sesiapa yang
memuliakannya maka Allah akan memuliakannya dan sesiapa yang menghinanya maka
Allah akan menghinanya”.
Sanad hadis ini daif kerana beberapa sebab berikut:
i. Khilaf ulama hadis berkenaan perawi Sa’ad bin Aus. Beliau
adalah perawi yang dinilai daif oleh Ibn Ma’in. Walaupun Ibn Hibban menilainya
thiqah tetapi Ibn Hajar merumuskan bahwa perawi yang dipercayai tetapi
mempunyai kesilapan.
ii. Perawi bernama Ziyad bin Kusaib. Nama beliau disebutkan oleh
Ibn Hibban dalam al-Thiqat tanpa penilaian thiqah yang jelas. Oleh itu, Ibn
Hajar menilainya sebagai perawi maqbul iaitu diterima hadisnya jika ada
sokongan. Namun jika bersendirian hadisnya tertolak kerana beliau adalah perawi
yang tidak dikenali.
Penilaian daif bagi hadis dengan lafaz ini dilakukan oleh
al-Munawi dalam Faidh al-Qadir dan al-Taisir serta al-Albani dalam Silsilah
al-Dhaifah.
Namun, al-Suyuti mengisyaratkan bahawa hadis ini sabit.
Berdasarkan penilitian saya, lafaz “Sultan ialah bayangan Allah”
dalam jalur Abu Bakrah ini pula hanya datang dalam jalur Muslim bin Said
al-Khaulani. Sedangkan 3 orang perawi lain tidak menyebutkannya. Tidak dia
bahawa lafaz ini datang dalam jalur sahabat lain lagi. Jika berkesempatan saya
akan tulis tentang jalur-jalurnya dan statusnya kemudian nanti.
2. Terdapat lafaz lain bagi sanad hadis ini tanpa menyebutkan
lafaz: “Sultan bayangan Allah di bumi”. Berikut lafaznya:
من أكرم سلطان الله في الدنيا أكرمه الله يوم القيامة ومن أهان
سلطان الله في الدنيا أهانه الله يوم القيامة
Maksudnya: “Sesiapa yang memuliakan Sultan (yang dilantik untuk
menjalankan hukum) Allah, maka Allah akan memuliakannya dan sesiapa yang
menghinanya maka Allah akan menghinanya”
Lafaz ini diriwayatkan oleh Ahmad dalam al-Musnad dan al-Baihaqi
dalam al-Sunan al-Kubra. Sanadnya sama seperti sanad hadis sebelum ini. Lalu ia
dihukum daif.
3. Terdapat lafaz lain bagi hadis ini. Berikut lafaznya:
" من أجل سلطان الله أجله الله يوم القيامة "
Maksudnya: “Sesiapa yang memuliakan Sultan Allah (yang
menjalankan perintah) Allah maka Allah akan memuliakannya di hari kiamat”.
Hadis ini dirwayatkan oleh Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunnah.
Sanadnya dinilai daif oleh guru saya al-Arnout kerana perkara berikut:
i. Ibn Lahi’ah adalah perawi yang daif.
ii. Terdapat perawi mubham (tidak disebutkan namanya) dalam
sanadnya.
Al-Albani juga menilai sanad hadis ini daif. Tetapi di dalam
Silsilah Sahihah lafaz “Allah memuliakan sesiapa yang memulikan Sultan” ini
beliau naikkan ke martabat hasan kerana sokongan dari hadis sebelum ini.
Saya kurang bersetuju dengan penilaian al-Albani ini kerana
masih terdapat kemungkinan perawi mubham itu adalah Sa’ad bin Aus dan Ziyad bin
Kusaib juga menurut al-Arnout kerana dia daripada Bani ‘Adiy seperti yang
disebutkan dalam sanad. Jika benar perawi mubham adalah salah seorang daripada
mereka maka madar hadis ini masih sama lalu tidak boleh diangkat kepada
martabat hasan.
4. Dengan sanad yang sama, al-Tirmizi meriwayatkan hadis ini
dengan lafaz berikut:
مَنْ أَهَانَ سُلْطَانَ اللَّهِ فِي الأَرْضِ أَهَانَهُ اللَّهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang menghina Sultan Allah (yang menjalankan
perintah) Allah maka Allah akan menghinakannya”.
Al-Tirmizi menilai hadis ini dengan hasan gharib.
5. Ibn al-Najjar meriwayatkan dari jalur Abu Hurairah dengan
lafaz:
السلطان ظل الله في الأرض ، يأوي إليه الضعيف ، وبه ينتصر المظلوم
، ومن أكرم سلطان الله عز وجل في الدنيا ، أكرمه الله يوم القيامة
Maksudnya: “Sultan adalah bayangan Allah di bumi, orang lemah
kembali (berlindung) kepadanya, orang yang dizalimi mendapat bantuan dengan
bantuannya, sesiapa sesiapa yang memuliakannya di dunia, maka Allah azza wa
jalla akan memuliakannya di hari kiamat”.
Sanad ini dinilai daif oleh al-Munawi dalam al-Taisir. Al-Albani
juga menilainya daif di dalam Silsilah Dhaifah.
B. Saya cenderung kepada pendapat yang mengatakan hadis ini daif
kerana kesemua jalurnya tidak terlepas daripada kedaifan. Namun saya tidak
menafikan ada ulama muktabar yang menilainya sebagai hasan lighairih. Berkemungkinan
admin FB JAKIM bertaqlid kepada ulama yang menilainya sebagai hasan lighairih.
C. Makna “bayangan Allah” di dalam hadis ini bukanlah bermakna
Sultan mempunyai kuasa atau kedudukan kalis kesilapan. Buktinya ada hadis Nabi
sallallah alaih wasallam menjanjikan ganjaran kepada sesiapa yang bercakap
benar di depan pemerintah yang zalim. Nabi sallallah alaih wasallam bersabda:
إن من أعظم الجهاد كلمة عدل عند سلطان جائر
Maksudnya: “Di antara jihad yang teragung ialah perkataan benar
yang diucapkan di sisi penguasa yang zalim”. (HR al-Tirmizi, sahih)
D. Sebenarnya hadis ini –jika ia sabit daripada Nabi sallallah
alaih wasallam- memberikan kegembiraan kepada rakyat. Ini kerana bayangan Allah
itu bermaksud Sultan memberikan perlindungan kepada rakyat yang lemah dan
pelaksana hukum Allah di bumi ini. Pastinya setiap yang berhak akan diberi
haknya jika Sultan berlaku adil.
E. Tetapi perlu diingat bahawa hadis Nabi sallallah alaih
wasallam tidak hanya fokus kepada hak pemerintah untuk ditaati. Hadis juga
memberikan peringatan kepada pemerintah yang zalim. Antara contohnya:
مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً يَمُوتُ يَوْمَ
يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ إِلاَّ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ
Maksudnya: "Tidak ada seorang pun yang Allah berikannya
amanah untuk menjaga rakyat, lalu dia mati dalam keadaan dia khianat kepada
rakyatnya melainkan Allah haramkan ke atasnya syurga". (HR Muslim)
F. Pada pandangan saya, perlu seimbang dalam membaca hadis-hadis
Nabi sallallah alaih wasallam. Rakyat diingatkan supaya taat dan pemerintah
dinasihati supaya amanah.
Dr Rozaimi Ramle