PKP HURU-HARA TANDA MAHIADDIN TIDAK MAMPU MEMIMPIN

 

Hari ini, 4 Jun adalah hari keempat perlaksanaan PKP penuh atau total lockdown yang diumumkan kerajaan berikutan meningkatnya semula jumlah kes Covid19 dalam negara.

Tetapi, tidak seperti PKP 1.0 dahulu, PKP penuh kali ini bukan saja tidak dianggap PKP penuh atau total lockdown dalam ertikata sebagaimana istilah yang disebut Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yassin, malah ia jadi hura-hara dan lintang pukang.

Walau dikata PKP penuh, ia sama sekali tidak banyak berbeza dengan PKP 2.0 dan PKP 3.0 sebelum ini.

Lebih ketara, huru-hara dan lintang pukang dalam PKP penuh ini hanya berlaku kira-kira sehari selepas perlaksanaannya dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu.

Tidak saja jalanraya masih sibuk dan sesetengahnya berlaku kesesakan, orang berkeliaran juga kelihatan di mana-mana dan yang paling memusykilkan, MITI semakin banyak memberi kebenaran kepada syarikat dan kilang untuk dibenarkan beroperasi.

Azmin Ali sebagai Menteri MITI yang diberi kuasa meluluskan mana-mana syarikat untuk beroperasi pula seakan cuba menunjukkan “powernya” apabila semakin banyak kelulusan diumumkannya di sebalik kes dan kematian juga kian meningkat.


Jika sebelum kecaman terhadapnya timbul, jumlah syarikat yang dibenar beroperasi adalah 95,142, tetapi setelah kecaman makin berleluasa, semalam beliau dengan bangga mengumumkan sebanyak 128,150 syarikat telah diberi kebenaran.

Jika makin banyak syarikat dibenar beroperasi dan dan semakin ramai orang berada di luar rumah, bagaimanakah rantaian Covid19 ini mahu diputuskan?

Untuk itu, PKP yang dikatakan penuh kali ini semakin ditanggapi ramai bukanlah benar-benar penuh dan totak lockdown juga tidak benar-benar total perlaksanaannya.

Semua itu tidak saja mengundang paling banyak kritikan dan kecaman, bahkan ramai yang tidak ragu-ragu menjangka PKP ini akan menemui kegagalan.

Sementara jika rakyat yang tidak sedia berkorban kerana sekatan PKP dan itu boleh saja dianggap perkara biasa, namun tentulah luar biasa kalau kerajaan sendiri yang tidak sanggup berkorban dalam memerangi wabak pembunuh ini.

Itulah yang terlihat dalam PKP terbaru ini di mana dengan pelbagai kelonggaran yang diberi oleh kerajaan melalui MITI untuk sekian banyak syarikat beroperasi adalah tanda jelas kerajaanlah yang enggan berkorban.

Kenapa susah sangat kerajaan mahu menguatkuasa peraturan agar semua syarikat ditutup operasi untuk sementara atau hanya selama dua minggu saja, kecuali syarikat pengeluaran dan perkhidmatan yang benar-benar perlu saja?

Yang paling buruk, pendirian kerajaan dalam isu memberi kebenaran kepada syarikat beroperasi itu turut menyebabkan berlakunya pertengkaran panas dalam mesyuarat kabinet dikatakan antara Ismail Sabri Yaakob dengan Azmin.

Keputusan kerajaan dan Mahiaddin sendiri yang meletakkan kuasa penuh kepada Azmin dan MITI untuk meluluskan syarikat-syarikat yang ingin beroperasi dalam tempoh PKP adalah suatu kesilapan yang jelas mengundang petaka dan ketidaktentuan.

Beranggapan bahawa kuasa yang diberikan kepadanya itu itu suatu kelebihan berbanding sepatutnya mesti lebih berhati-hati dan tidak rakus dalam membuat keputusan, itulah realitinya yang menjadikan lebih banyak syarikat diberi kebenaran.

Sebagimana didedahkan dalam media sosial, terdapat pula beberapa syarikat yang bukan dalam kategori perlu pun ada yang diberi kelulusan oleh MITI.

Kenapa dan bagaimana perkara itu boleh berlaku?

Dalam hal ini, mahu tidak mahu, beban kesalahan paling utama haruslah diletakkan kepada Mahiaddin sebagai punca segala-galanya, selain Azmin.

Mahiaddin bukan saja bersalah kerana memanja dan terlalu memberi muka kepada Azmin, malah juga atas kegagalannya dalam memimpin dan memastikan menteri-menterinya melaksanakan tugas dengan baik serta berkesan.

Sifirnya mudah saja, kalau Mahiaddin adalah seorang Perdana Menteri yang tegas, berwibawa, tidak lemah, kepimpinannya dihormati dan arahannya dipatuhi, kekalutan, huru-hara dan lintang pukang ini tidak akan berlaku dengan berleluasa.

Sebaliknya, oleh kerana Mahiaddin adalah seorang Perdana Menteri yang gagal, kerajaannya dan apa juga yang dilakukannya, semuanya akan menghasilkan natijah kegagalan.


 (ShahbudinHusin 04/06/2021)