Kerajaan PN tidak belajar apa-apa, SOP masih mengelirukan
Kerajaan Perikatan Nasional seolah-olah tidak mempelajari apa-apa selama setahun mengharungi wabak Covid 19.
Bagi Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutan, Andre Lai, Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tidak jelas terutama dalam situasi lockdown dan perniagaan-perniagaan yang dibenarkan beroperasi amat mengelirukan serta merugikan banyak pihak.
Katanya, sejak 1 Jun lalu beberapa peniaga menghubungi beliau berkenaan masalah SOP dan salah satu panggilan berkenaan berkaitan pembukaan pasar pagi.
“Pasar Prima Setapak di Parlimen Wangsa Maju sebelum ini menerima dua versi SOP bertindih; SOP pertama tidak membenarkan pembukaan dan SOP kedua memberi kebenaran untuk beroperasi sehingga 2 petang.
“Setelah membuat persediaan untuk berniaga keesokkan hari, mereka mendapat pengesahan yang terbaru daripada DBKL, bahawa pasar terbuka tidak dibenarkan dalam tempoh 14 hari,” katanya yang juga Pegawai Khas Ahli Parlimen Wangsa Maju.
Menurut Andre, beliau juga menerima panggilan daripada seorang pesara yang kecewa kerana temujanji dengan KWSP yang terpaksa ditundakan sehingga berakhirnya lockdown.
Warga emas berkenaan, katanya, amat risau akan kehidupannya selepas 1 tahun dalam pandemik
“Sewajarnya KWSP sebagai ‘pelindung’ duit sara hidup tiba-tiba tidak dapat dihubungi maka boleh dibayangkan tahap kegelisahan warga emas yang memerlukan pengeluaran simpanan mereka.
“Begitu juga pemandu lori yang terpaksa menundakan pemeriksaan berjadual di JPJ dan Puspakom. Ini adalah antara suara kemarahan rakyat jelata. Mereka adalah pengundi dan warganegara Malaysia,” katanya.
Tidak terkecuali kemarahan mengarah kepada sistem CIMS 3.0 di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Kata Andre, beliau juga menerima banyak aduan daripada para pengilang dan syarikat yang khuatir tidak mendapat kelulusan untuk beroperasi kerana gangguan pendaftaran sistem MITI.
“Malaysia telah berdepan dengan wabak lebih daripada setahun. Telah melalui 3 PKP dan keadaan darurat yang masih berkuatkuasa dalam pengumuman PKP terbaru ini. Semakin ramai yang tidak puas hati dan ragu terhadap kemampuan kerajaan mentadbir negara.
“Pelaksanaam Total Lockdown, adalah hasil daripada suntikan vaksin yang tertangguh dan kluster sebaran Covid yang tidak terkawal. Sepatutnya boleh dicegah dari awal lagi, namun kerajaan tidak mengambil tindakan drastik.
“Pelbagai ketetapan di buat atas nama Covid 19. Kebebesan rakyat telah dicabul tetapi rakyat tetap mematuhi peraturan. Namun selepas setahun, kesabaran rakyat telah sampai tahap paling tipis. Rakyat telah dirampas haknya.
“Hari ini, kebanyakkan rakyat kasi pagi makan pagi, kais petang makan petang dan tidak dibenarkan mencari pendapatan. Memang musuh kita Covid 19, tetapi adakah kita berperang dengan wabak atau adanya udang disebalik batu?” kata Andre lagi.
Beliau mengingatkan, rakyat tidak boleh dikurung terlalu lama oleh Kerajaan Gagal dan menuntut agar sistem demokrasi dipulihkan semula sebelum terlambat.