“KENYATAAN TERBUKA PEGUAM NEGARA TIADA ADAB DAN DERHAKA KEPADA RAJA, MESTI DIPECAT SEGERA”

 

Majlis Presiden Pakatan Harapan meneliti dengan serius kenyataan Peguam Negara 25 Jun lalu berhubung kuasa-kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan nasihat Jemaah Menteri.

Pada ketika negara berhadapan krisis pandemik COVID-19, begitu ramai yang hilang nyawa dan pekerjaan, ekonomi kekal suram, serta kerajaan yang tidak stabil lagi tiada keabsahan, rakyat menaruh harapan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk menitahkan pandangan yang mampu mencari penyelesaian kepada krisis ini.

Inilah yang rakyat lihat apabila Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengeluarkan kenyataan media pada 16 Jun lalu, termasuk dalam aspek Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri perlu bersidang secepat mungkin.

Namun kenyataan Peguam Negara ini, terutama dalam konteks sekarang, telah melampaui batas adab kerana memperkecil dan memperlekehkan titah pandangan Raja-Raja Melayu.

Ia telah mengenepikan semangat Perlembagaan, dan memberi gambaran Peguam Negara telah mengenepikan institusi Raja-Raja Melayu untuk melindungi sebuah kerajaan yang mahu berkuasa mutlak tanpa kawalan mahupun batas waktu.

Kenyataan Peguam Negara juga melanggar kebiasaan kerana Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa “Menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara perkara undang-undang…”

Jelas sekali Peguam Negara sepatutnya memberi pandangan beliau terus kepada Yang di-Pertuan Agong serta merahsiakannya, dan bukan mengumumkan pandangan beliau secara terbuka seperti yang telah dibuat ini.

Maka kenyataan ini juga satu bentuk “pelanggaran kerahsiaan” (breach of confidentiality) di antara peguam dan anak guam.

Dengan pelanggaran ini, beliau tidak layak menjadi seorang peguam apatah lagi menjawat jawatan Peguam Negara.

Oleh itu, kenyataan Peguam Negara ini adalah satu penderhakaan khusus terhadap Yang di-Pertuan Agong, dan beliau mesti dipecat segera.

Anwar Ibrahim

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Mohamad Sabu

Parti Amanah Negara (AMANAH)

Lim Guan Eng

Parti Tindakan Demokratik (DAP)



No comments: