Apa lagi yang kerajaan tunggu, soal Shahrir By Muhammad Azizul Osman


MGF04072017_SIDANG-MEDIA-EKSPRESI-FELDA08

Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Sikap berdiam diri Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengenai sidang Parlimen terus dikritik veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad.

Menurut beliau, apa lagi yang hendak ditunggu oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar sidang Parlimen dibuka dengan kadar segera.

“PM dan kerajaan membisu. Kemudian, minggu lepas Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja zahirkan pandangan untuk Parlimen bersidang “secepat mungkin”.

“PM pula umum akan tubuh jawatankuasa untuk teliti boleh kah Parlimen bersidang ni. Kedua-dua Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat dah keluar kenyataan bersama bahawa Parlimen boleh bersidang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Shahrir berkata demikian merujuk kepada kenyataan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bahawa kedua-dua mereka akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu menambah, ini adalah kali kedua Azhar dan Rais menghadap Yang di-Pertuan Agong, berhubung sesi Parlimen.

“Kalau betul, ini kali kedua. Lebih seratus hari dulu, juga dah dipanggil mengadap. Lepas tu, Istana Negara keluar kenyataan YDPA bertitah Parlimen boleh bersidang semasa Darurat,” katanya lagi.

Semalam, Azhar Azizan dan Rais mencadangkan agar persidangan hibrid Parlimen diadakan pada akhir Ogos atau awal September.

Dalam cadangan itu, kedua-dua mereka turut menyatakan kerajaan perlu melakukan beberapa persiapan iaitu dari aspek perundangan, pentadbiran, teknikal, perolehan bekalan perlu diperkemaskan terlebih dahulu untuk memastikan persidangan secara hibrid itu berjalan lancar.

Sehubungan itu, satu sidang khas Parlimen akan diadakan awal Ogos dengan andaian semua aspek perundangan mengenai persidangan alternatif berkenaan dapat diselesaikan akhir Julai dan sekiranya ia diluluskan di peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat.

Untuk rekod, minggu lalu Muhyiddin berkata, sebuah jawatankuasa yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang telah dibentuk untuk meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.

Beliau memberikan komitmen keputusan pembukaan persidangan Parlimen akan diputuskan oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang di dalam jawatankuasa berkenaan. 

 

No comments: