Gerakkan Sekretariat PH setiap parlimen, jaga kebajikan rakyat – Muhaimin

 


Gerakkan Sekretariat PH setiap parlimen, jaga kebajikan rakyat – Muhaimin

Mesyuarat Pakatan Harapan Perak semalam telah mengambil keputusan untuk mengarahkan supaya setiap kawasan parlimen di Perak mengerakkan semula Sekretariat PH masing-masing.

“Ini sebagai persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan situasi politik terkini dan menjaga kebajikan masyarakat setempat,” kata Dr Muhaimin Sulam (gambar), Koordinator Komunikasi dan Publisiti PH Perak

Katanya, PH Perak akan memberi tumpuan terutama dalam berhadapan krisis pandemik yang memberi kesan menyeluruh kepada semua pihak.

Dalam mesyuarat itu juga, PH Negeri Perak telah mencapai persetujuan mengenai struktur baru PH yang dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PH Perak baru-baru ini.

Mesyuarat tersebut berlangsung secara talian yang dipengerusikan Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, Pengerusi PH Perak yang baru.

Semua pengerusi parti-parti PH negeri iaitu Nga Kor Ming (DAP), Asmuni Awi (AMANAH) dan Farhash Wafa Salvador (PKR) dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PH Perak.

Mesyuarat juga mengekalkan Setiausaha PH Perak kepada Sivakumar, ahli parlimen Batu Gajah. Manakala pejabat sekretariat PH Negeri akan beroperasi di Wisma AMANAH Negeri Perak.

“Langkah ini selaras dengan hasrat Pengerusi PH Perak untuk membawa negeri Perak keluar dari pandemik Covid 19 dan seterusnya meletakkan kembali fungsi kerajaan ke peranan sebenar sebagai peneraju negeri yang memiliki potensi ekonomi dan modal insan yang kaya,” kata Muhaimin dalam satu kenyataannya.

Mesyuarat juga mengalu-alukan pemilihan Mohamad Hairul Amir bin Sabri sebagai Ketua Pemuda PH Perak dan Wong May Ing sebagai Ketua Wanita PH Perak.

Kedua-dua dipilih oleh sayap parti berkenaan beberapa hari sebelum itu. Sementara itu, Tan Kar Hing terus kekal sebagai Bendahari PH Perak.

Ahli Jawatankuasa lain ialah Dr. Fakhruldin Mohd Mohd Hashim (AMANAH), Dr. Ahmad Termizi Ramli (AMANAH), Baldip Singh (PKR), M. A. Tinagaran (PKR), Ngeh Koo Ham (DAP) dan Wong Kah Woh (DAP).

Pelantikan dan penyusunan semula organisasi PH Perak yang menggemblengkan pelbagai kaum dan gender serta diketuai bekas Menteri Agama itu dipercayai dapat memastikan hala tuju perjuangan PH Perak tidak tersasar daripada landasan Perlembagaan Persekutuan dan komitmen memelihara Islam sebagai Agama Persekutuan, tambah beliau.

No comments: