PH musuh agama: Pas jumud pegang konsep Muslim Teokrat, idelogi lapuk

 


POSTED BY AMIR WRLR


Pendapat Presiden Pas Hj Hadi Awang baru-baru ini yang meletakkan Pakatan Harapan seolah-olah musuh agama kerana wujudnya DAP yang mengancam Islam, dikritik oleh pendakwah bebas Wan Ji Wan Husin.

Wan Ji mendakwa Pas tidak pernah mahu melakukan perubahan dan berkukuh kepada konsep Muslim Teokrat yang tidak mengiktiraf konsep negara bangsa dan kewarganegaraan.

Hal itu menyebabkan Pas jumud dan tidak secocok dengan sistem pemerintahan demokrasi moden.

"Dari situ datang wacana Muslim Teokrat. Masalahnya mereka (pendukung Muslim Teokrat) membawa agenda Negara Islam tetapi agenda itu kebanyakannya membawa kepada mereka menjadi radikal

"Di sana ada beberapa tokoh yang membincangkan bahayanya Muslim Teokrat ini. Tokoh antaranya Dr Said Ramadan Al-Bouti dari Syiria. Beliau menulis kitab yang menceritakan tentang jihad, yang bila kita baca nampak fikrah Islam teokratik itu tidak memberi manfaat yang besar kepada Islam

"Juga ilmuan seperti Dr Said Ramadan, Syeikh Abdullah Bin Bayyah dan sebagainya cuba menyelesaikan konsep kewarganegaraan dalam hal melibatkan kepolitikan konsep negara bangsa pada hari ini.

"Yang sudah pasti wacana itu tak sama dengan dibincangkan al Imam (Abu Hasan) al Mawardi, Ibnu Taimiyah, Abu Yusof dan sebagainya. Misalnya istilah kafir harbi adalah satu wacana yang timbul era dinasti Umaiyyah, Abbasiyah dan Usmaniyah.

"Apabila muncul negara bangsa, konsep itu sudah tidak relevan. Konsep kewarganegaraan sudah berbeza. Yang membawa konsep Muslim Teokrat itu tidak faham kerana suasana kita sudah berubah. Keputusan hukum itu berubah berasaskan tempat, masa dan situasi," katanya dalam forum maya bertajuk "Pakatan Harapan Anti Islam & Musuh Agama, Di Mana Kebenarannya?", malam semalam.

Mengenai persoalan kafir harbi dan kafir zimmi, Wan Ji berhujah, isu berkenaan dilatari konsep kewarganegaraan dalam era dinasti Umaiyyah dan ianya boleh berubah berdasarkan kaedah pemerintahan moden.

"Mungkin ada yang kata macam mana dengan hadis "barang siapa menyakiti kafir zimmi itu seperti menyakitiku". Sebenarnya itu bukan perkataan Nabi Muhamad saw tetapi perkataan khalifah Umar Abdul Aziz. Itu kerangka pemerintahan dinasti.

"Di situ kita nampak wacana kafir zimmi dan harbi. wacana kewarganegaraan yang wujud zaman dahulu. Sekarang ini kita sudah ada konsep warganegara dalam negara bangsa seperti Malaysia. Jadi orang bukan Islam itu setaraf dan kita tidak boleh anggap kelas kedua. Bahkan kita kalau duduk di Barat yang bukan Islam, kalau jadi warganegara maka satu level dengan mereka. Itu konsep yang baru.

"Hal ini yang gagal difahami oleh mereka yang berfikrah dengan Muslim Teokrat. Sebab itu ada terma baru iaitu Muslim Demokrat yang dipopularkan oleh Rashid al-Ghannushi. Kita membincangkan pula tentang bagaimana nak jadi Muslim Demokrat (yang lebih sesuai dengan suasana hari ini)," katanya.

Mengenai hadis mendahulukan suku Arab Quraisy berbanding yang lain sebagai pemimpin, dan dijadikan kias kepada konsep Ketuanan Melayu mengatasi kaum lain di Malaysia, Wan Ji berkata konsep tersebut tidak sepenuhnya tepat.

"Sebenarnya mereka merujuk kepada satu hadis: "Imam itu di kalangan orang Quraisy". Jadi mereka membandingkan Quraisy itu dengan Melayu sebagai majoriti dan berlakulah kupasan panjang lebar.

"Dalam wacana Islam yang mengatakan begitu adalah Imam al Mawardi. Tetapi cuba kita pikir balik latar peristiwa ketika itu. Imam Mawardi adalah Ketua Qadi di kerajaan Abbasiyah. Apabila dia qadi dalam kerajaan Abbasiyah maka tidak hairan fatwanya mengarah Abbasiyah, Abbasiyah itu keturunan Quraisy. Maka itulah fatwa dia.

"Kita mengambil hujah Mawardi tanpa melihat epistemologi Mawardi terlebih dahulu. Kalau pergi kepada kaedah ilmiah itu sudah bercanggah kerana metodenya mementingkan latar awal kenapa fatwa sedemikian berlaku.

"Datang pendapat kedua dari Ibnu Khaldun yang mengatakan tujuan melantik Quraisy itu untuk menolak perbalahan sahaja. Tidak timbul isu perbalahan maka tidak timbul isu Quraisy," katanya.

Bagi Wan Ji, dalam Islam perkara wajib yang perlu diambil kira melantik pemimpin adalah ringkas dan tidak perlu diperpanjangkan sebagaimana perbahasan pemuka-pemuka agama dalam kalangan Muslim Teokrat di negara ini.

"Kita pergi ke dasar. Syarat pemimpin mesti Melayu atau Quraisy itu hanya syarat sempurna, bukan syarat sah.

"Dalam Islam syarat sah (lantik pemimpin) dari segi politik tidaklah besar. Pertama, dia mesti layak. Dalilnya hadis Nabi saw, "Apabila kamu memberi urusan kepada yang bukan berkelayakan maka tunggulah saat kehancuran". Maksudnya kita lihat keahlian itu penting.

"Kedua, mesti ada amanah dan bijaksana. Ada tiga perkara ini maka syarat sah dah selesai," katanya lagi.