‘Ini bukan soal nak kawal Covid-19 tapi kawal benda lain’, Ku Li desak buka Parlimen sebelum 1 Ogos

 

Tengku Razaleigh Hamzah berkata, undang-undang darurat dilihat hanya sekadar untuk kepentingan politik, seolah-olah tiada kaitan dengan isu pandemik Covid-19 dan kesusahan rakyat.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razali Hamzah, meminta sokongan orang ramai untuk mendesak kerajaan membuka Parlimen sebelum tamat tempoh darurat.

Beliau berkata, sidang Parlimen perlu dilaksanakan secepat mungkin seboleh-bolehnya dalam bulan akan datang tanpa perlu menunggu sehingga Oktober.

“Kita mahu Parlimen bersidang sebelum tamatnya darurat pada 1 Ogos.

“Jangan kita tunggu sehingga bulan Oktober, itu bukan dia, ini bukan lagi soal nak kawal Covid-19 tetapi nak kawal benda lain yang tiada sangkut paut dengan kedudukan rakyat,” katanya menerusi pelancaran petisyen rakyat desak segerakan sidang Parlimen pada siaran langsung Facebook hari ini.

Beliau turut menzahirkan kekesalan apabila terdapat segelintir wakil rakyat yang berkhidmat dalam kerajaan mempertikaikan supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

“Ada wakil rakyat yang juga berkhidmat dalam kerajaan mempertikai Parlimen bersidang…Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) berjiwa rakyat, orang mewakili rakyat tidak berjiwa rakyat..orang seperti ini boleh pencen,” katanya.

Katanya, undang-undang darurat dilihat hanya sekadar untuk kepentingan politik, seolah-olah tiada kaitan dengan isu pandemik Covid-19 dan kesusahan rakyat.

Ku Li berkata, darurat tinggal darurat oleh kerana kuasa yang ada bawah undang-undang yang terpakai sebelum ini masih boleh dipakai.

“Tidak perlu kepada undang-undang darurat ini, hanya semata-mata kerana tindakan politik tiada kena mengena dengan Covid-19 dan kesusahan rakyat yang sepatutnya dibela sepenuhnya.” katanya.

Pada 16 Jun lalu, media melaporkan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata ini bagi membolehkan Pelan Pemulihan Negara yang dibentang kerajaan dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan Ahli Dewan Rakyat.

Katanya, pandangan baginda itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar pelbagai agensi kerajaan.

No comments: