PKP POLITIK DISAMBUNG LAGI, RAKYAT TAMBAH SAKIT HATI, KEGAGALAN MAHIADDIN MAKIN MENINGGI….

 

PKP penuh atau total lockdowan tapi tiga suku masak perlaksanaannya yang sepatutnya berakhir hari ini bukan saja tidak ditamatkan, malah akan terus disambung lagi ke suatu tarikh yang tidak ditetapkan bila titik akhirnya.

Bermula esok, ia juga tidak lagi dinamakan PKP penuh atau total lockdowan, tetapi dijenamkan sebagai fasa pertama Pelan Pemulihan Negara atau PPN untuk diselarikan dengan apa yang diumumkan secara tergesa-gesa oleh Mahiaddin Md Yasin sebelum majlis menghadap ketua-ketua parti terhadap Yang Dipertuan Agong di Istana Negara, baru-baru ini.

Sepertinya perubahan nama PKP kepada fasa pertama PPN itu tidak ubah macam menukar nama Muhyiddin kepada Mahiaddin – tiada berubah apa-apa selain namanya saja.

Turut untuk pertama kali, fasa pertama PPN ini tiada had tempoh masanya sebagaimana PKP sebelum ini yang ditetapkan tempohnya hanya selama dua minggu sebelum dibuat pengumumman baharu.

Dengan fasa pertama ini tidak diketahui bila tarikh tamatnya, ditambah keseluruhan fasa dalam PPN ada empat semuanya, nampaknya hampir pasti sehingga hujung tahun kita semua akan hidup terkurung sebegini di mana kebebasan yang diberi akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Tidak boleh lagi merentas daerah, jauh sekali rentas negeri untuk menjenguk keluarga serta ibu bapa di kampung, kecuali keizinan akan diberi jika sudah tidak bernyawa lagi.

Perlaksanaan perintah mengurung rakyat ini mahu tidak mahu adalah merupakan satu lagi tanda kegagalan Mahiaddin dalam mengutus negara dan mengawal pandemik Covid19.

Sudah berulang kali disebutkan dan ditekankan oleh banyak pihak tentang perlunya kilang, industri dan tapak pembinaan ditutup sepenuhnya bagi tempoh tertentu lantaran di situlah banyak kes Covid19 berlaku, malangnya ia langsung tidak didengari oleh kerajaan.

Bukan setakat itu, dari hari ke hari juga, didapati semakin banyak keizinan kilang beroperasi diberikan MITI.

Akhirnya inilah jadinya, orang lain yang menjadi punca menularnya wabak, tapi rakyat yang tidak berdosa dipaksa berkurung sengsara di dalam rumah.

Dalam keadaan ini, ramai yang terjejas pendapatan terutama peniaga, pengusaha kecil-kecilan dan mereka yang bergaji hari.

Secara umum pula, rata-rata dan di mana-mana, kehidupan rakyat dikesan dan didapati jadi tambah tertekan serta sakit hati.

Bukan saja kemurungan dan pergaduhan dalam keluarga meningkat, kes bunuh diri dengan terjun bangunan, terjun jambatan dan gantung diri boleh dikata berlaku hampir setiap hari.

Apakah Mahiaddin tiada perasaan dalam keghairahannya memperalatkan PKP, darurat dan fasa demi fasa PPN untuk mengekalkan kuasanya yang tiada keabsahan sejak awal lagi?

Apa lagi mahu dikata tentang tindakan mengurung rakyat ini, selain terus berdalih-dalih membenarkan Sidang Parlimen kalau ia bukan bertujuan politik namanya?

Tidak rasa berdosakah Mahiaddin dan menteri-menteri kabinet, temasuk pemimpin daripada parti penjual agama dalam kerajaan melihat kesusahan dan derita rakyat ini dengan menolak, menangguh serta berdolak-dalik berkaitan moratorium automatik, lanjutan pengeluaran i-Sinar dan i-Lestari KWSP, tidak memberi diskaun elektrik dan pelbagai sikap tidak pedul lagi yang ditunjukkan?

Ada kedengaran nak mengkaji bantuan pun hanya setelah rakyat bising dan menjerit di sana sini.

Apa sebenarnya jenis kerajaan yang kita ada ini, tidak keterlaluan rasanya kalau dikatakan tiada kerajaan lain yang seburuk berperangai sebegini?

Apakah Mahiaddin tidak faham dan tidak sedar lagi dengan pelbagai tanda pagar yang trending di laman makro Twitter, daripada #KerajaanGagal, kemudian #KerajaanBodoh, seterusnya #KerajaanBangsat dan terakhir ini #KerajaanPembunuh?

Sampai bila Mahiaddin dan menteri-menteri makan gaji buta dalam kerajaan mahu terus menekan dan menyusahkan rakyat, sudahlah tiada bantuan yang mencukupi, ditambah lagi dengan penguatkuasaan yang keras dan tidak bertolak ansur kepada rakyat jika mereka didapati melanggar SOP?

Malangnya banyak kes menteri-menteri yang melanggar SOP, disiasat saja memakan masa berbulan lamanya dan kebanyakan akhirnya seolah-olah senyap begitu saja.

Apakah beliau mahu menunggu ada rakyat terjun bangunan atau membakar diri di depan matanya baru mahu sedar diri?

Sekali lagi, kerajaan jenis apa yang kita ada ini sebenarnya?

Apakah Mahiaddin dan kerajaan PN ini mahu rakyat benar-benar bangkit, seterusnya menempah sejarah ditumbangkan seperti apa yang pernah berlaku di banyak negara Timur Tengah sebelum ini?


 (ShahbudinHusin 28/06/2021)



No comments: