Kapasiti vaksinasi harian di Selangor lebih 80,000, bukan 40,000 seperti didakwa KJ, kata Exco Selangor


Dr Siti Mariah Mahmud berkata masalah yang dihadapi di Selangor ketika ini adalah kekurangan bekalan vaksin, bukan kapasiti mahupun jumlah PPV. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kapasiti vaksinasi harian di 73 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh Selangor adalah 87,616 orang, dua kali ganda daripada jumlah dinyatakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, kata Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.

Bagaimanapun, Siti Mariah berkata dengan jumlah bekalan sedia ada ada, kadar suntikan harian ketika ini adalah 53,037 orang sahaja.

“Masalah yang dihadapi di Selangor ketika ini adalah kekurangan bekalan vaksin, bukan kapasiti mahupun jumlah PPV,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, dalam satu majlis di Tanjung Karang hari ini, Khairy berkata, jumlah vaksin Covid-19 yang dibekalkan ke Selangor berdasarkan data diberikan semasa pertemuannya dengan Menteri Besar Amirudin Shari.

Khairy dilaporkan berkata pada mesyuarat berkenaan, pihaknya dimaklumkan bahawa kemampuan vaksinasi kerajaan negeri itu hanya 40,000 suntikan sehari untuk Jun.

Oleh itu, Khairy mempersoalkan tindakan Siti Mariah yang mendakwa pihaknya tidak menyediakan bekalan vaksin mencukupi untuk negeri itu.

Mengulas lanjut, Siti Mariah berkata, semakan rekod terkini Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerima 1,189,350 dos setakat 27 Jun.

“Jumlah yang diagihkan pula adalah sebanyak 954,051 dos. Justeru, dos semasa dalam simpanan berbaki sekitar 20% yakni sebanyak 235,277 unit dos.

“Bekalan ini hanya dijangka bertahan untuk dua hari lagi sekiranya proses ini dijalankan pada kapasiti penuh PPV,” katanya.

Namun, Siti Mariah difahamkan JKNS akan menerima tambahan sekitar 60,000 unit dos hari ini.

“Insya-Allah, apabila digandingkan dengan Program Vaksin Selangor yang akan diumumkan Menteri Besar nanti, kita akan mampu mencapai sasaran CITF Kebangsaan yang disebut oleh Menteri Penyelaras PICK dengan masing-masing 135,000 dan 165,000 kadar vaksinasi harian menjelang Julai dan Ogos,” katanya.

No comments: