KALAU UNTUK PEMBAHARUAN UMNO, DARIPADA H2O, LEBIH SESUAI NAMAKAN KJ CALON PERDANA MENTERI

 

Setelah hilang kuasa pada 2018, UMNO kini sentiasa bergelut sambil bercakaran tanpa henti untuk merebut kembali kerusi Perdana Menteri.

Begitu pun, dalam keadaan sekarang, sebahagian kita mungkin boleh memahami ketidaksesuain untuk Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi ditonjolkan sebagai calon Perdana Menteri.

Oleh kerana kes mahkamah yang sedang dihadapinya, walaupun beliau mendakwa ia merupakan pendakwaan terpilih dan bermotif politik, tetapi selagi butiran perbicaraannya menjadi bahan bacaan semua orang, adalah sukar untuk menyandarkan harapan UMNO mampu kembali berkuasa jika namanya diletakkan sebagai bakal Perdana Menteri.

Kita juga mungkin boleh memahami ketidaksesuaian Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri.

Dengan berkedudukan hanya sebagai Adun dan tidak pernah menjadi Ahli Parlimen serta tiada pengalaman pentadbiran di peringkat Pusat, lebih-lebih lagi BN Negeri Sembilan tumbang ketika beliau memegang jawatan Menteri Besar, keraguan terhadap kemampuannya tentu saja tidak mudah untuk dikikis.

Kita juga tentunya tidak sukar memahami bahawa tiga Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri Yaakob, Mahadzir Khalid dan Khaled Nordin berada di luar kemampuan, kewibawaan dan keyakinan ramai jika hendak ditonjolkan sebagai calon Perdana Menteri.

Mereka itu bukanlah Hang Tuah atau Hang Jebat, sebaliknya hanyalah Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi yang namanya kadang-kadang disebut, kadang-kadang dilupakan.

Dalam waktu yang sama, walaupun Najib Razak agak popular kembali di dalam UMNO dan di kalangan rakyat ketika ini, namun bukanlah sesuatu yang mudah untuk menobatkannya kembali menduduki Seri Perdana.

Haruslah difahami, dengan sudah dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah, selain banyak lagi kesnya sedang menunggu untuk dibicarakan, halangan untuk Najib merebut kembali jawatan lamanya juga datang daripada kalangan dalam UMNO sendiri yang merasakan cukuplah sekali saja Ahli Parlimen Pekan itu diberi peluang menduduki kerusi Perdana Menteri.

Kata mereka, takkan nak bagi Najib lagi, orang lain nak juga jadi Perdana Menteri?

Untuk itu, siapa yang sesuai dan harus UMNO tonjolkan sebagai calon Perdana Menteri untuk menghadapi PRU15 akan datang?

Adakah Tengku Razaleigh Hamzah, Hishammmuddin Hussein atau Khairy Jamaluddin yang lebih patut ditonjolkan di mana mereka ini adalah antara pemimpin UMNO yang dirasakan layak, tetapi tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti sekarang ini?

Berdasarkan pengakuan Nazri Aziz bahawa beliau mengetuai usaha mengumpul Akuan Bersumpah atau SD untuk Hishammuddin, selain ia menandakan adanya gerakan untuk menentang Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO, adalah mudah juga difahami bahawa semua itu bertujuan meletakkan Ahli Parlimen Sembrong itu sebagai bakal Perdana Menteri.

Tanpa menafikan kewibawaan dan kemampuan anak Tun Hussein Onn itu, tetapi yang harus difikirkan oleh ahli-ahli UMNO ialah setelah parti itu kalah dan dan hilang kuasa, ia sebenarnya memerlukan pembaharuan yang segera.

Sebagaimana jika Ku Li dinamakan sebagai calon Perdana Menteri tidak mencerminkan adanya pembaharuan dalam UMNO, menamakan Hishammuddin atau H2O juga akan menghasilkan natijah yang sama.

H2O hampir seangkatan saja dengan dengan Zahid Hamidi dan dikira sebaya dengan Ismail Sabri atau Khaled Nordin.

Apa lagi, H2O bukanlah pemimpin yang benar-benar berani kerana pernah memohon maaf setelah menghunus keris dan kemudian memilih tidak bertanding sebarang jawatan pada pemilihan 2018 iaitu setelah UMNO hilang kuasa.

Bagi kebanyakan orang dalam UMNO, tindakan beliau tidak bertanding itu mencerminkan ketidaksediaannya memikul tangungjawab memulihkan parti setelah ketiadaan kuasa dan hanya seronok bergelumang di dalam parti bersama kuasa dalam kerajaan yang turut dapat digenggam.

Jika benar inginkan pembaharuan dan mahu melonjakkan peremajaan dalam parti, UMNO sebenarnya tiada pilihan lain melainkan harus berani menamakan calon muda untuk dijadikan Perdana Menteri.

Di kebanyakan negara lain, sudah banyak yang meletakkan pemimpin muda sebagai Perdana Menteri dan hasilnya cukup membanggakan.

Melihat senarai pemimpin muda yang ada dalam UMNO sekarang, KJ adalah calon calon paling sesuai untuk diamanahkan tanggungjawab itu.

Reputasinya sentiasa menonjol dalam apa juga tugas kementerian yang diberikan kepadanya, termasuk menyelaras program imuninasi Covid19 sekarang ini.

Walau diakui ada beberapa kelemahan timbul dalam tugas yang dijalankannya itu, tetapi jika orang lain diberi amanah tersebut, sudah tentu lebih banyak masalah lagi akan timbul.

Selain itu, ketika UMNO tiada kuasa, KJ juga tidak lari atau menyembunyikan diri, malah menawarkan diri untuk jawatan Presiden UMNO pada pemilihan 2018 yang lalu.

Keupayaannya mendapat 61 undi berbanding Zahid Hamidi yang memperolehi 99 undi, tetapi mampu menewaskan Ku Li yang mendapat 30 undi, adalah cerminan adanya sokongan yang agak kuat untuknya serta keinginan kepada pembaharuan.

Untuk itu, dalam kelam-kabut yang masih berterusan dalam UMNO sekarang, ubat mujarab untuk mengubatinya hanyalah dengan tidak melengah-lengahkan lagi kepada pembaharuan.

Dengan KJ dinamakan calon Perdana Menteri, kemungkinan UMNO mampu meraih sokongan rakyat dan anak-anak muda adalah lebih cerah, sekaligus mampu membuatkan segala jenis jurassic yang ada dalam UMNO sekarang sedar diri serta tahu untuk mengundurkan diri.

Kekalahan UMNO pada PRU 2018 bukan saja harus membuatkan golongan tua dalam UMNO memberi laluan kepada golongan muda, bahkan turut menjadikan H2O yang sebahagian besar penyokongnya adalah golongan tua juga tidak lagi relevan.

UMNO dengan KJ sebagai calon Perdana Menteri lebih berupaya untuk berubah dengan golongan baharu akan mengambil alih teraju kepimpinan di semua peringkat untuk menggantikan wajah-wajah yang usang yang sedia ada sekarang.

Lagi pun, cuba kita lihat, caca-marba dan kekalutan dalam UMNO sekarang adalah disebabkan onar dan karenah golongan jurassic tersebut yang tidak henti-henti menimbulkan masalah yang semata-mata bertunjangkan kerakusan kepada kuasa yang tak sudah-sudah bersarang dalam hati mereka.

Sampai bila golongan muda yang berwibawa dan berpendidikan sekadar mahu jadi penonton saja kepada golongan tua yang tak henti-henti berebut kuasa? 


(ShahbudinHusin 24/06/2021)

No comments: