Agong boleh panggil sidang Parlimen tanpa nasihat PM – Aziz Bari
Sidang Parlimen boleh dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong tanpa nasihat Perdana Menteri (PM) dalam keadaan tertentu.
Hal demikian ditegaskan oleh pakar undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz Bari dalam siaran Facebook beliau, semalam.
Menurut Dr Aziz, nasihat daripada PM dalam memanggil sidang Parlimen hanya terpakai dalam keadaan biasa. Namun sekiranya Agong melihat PM seolah-olah cuba melambat-lambatkan sidang maka Baginda boleh menggunakan kuasanya membuka Parlimen.
“Saya fikir apa yang disebutkan oleh peguam GK Ganesan (dalam isu kuasa memanggil sidang Parlimen) boleh diterima. Begitu juga Datuk Zaid Ibrahim. Juga Tengku Razaliegh Hamzah.
“Parlimen boleh dipanggil oleh Agong tanpa nasihat PM kerana sekarang jelas PM ‘tak berapa nak dengar’ (kenyataan Majlis Raja-raja). Dalam keadaan krisis seperti ini, nasihat (PM) tak boleh dijadikan atau dibaca secara harfiah lagi. Sebab yang penting dalam sistem, kerajaan harus menjawab kepada Parlimen.
“Kalau dia melambat-lambatkan pembukaan sidang Parlimen maka nasihat dia sudah harus tidak dipatuhi dalam hal memanggil itu.
“Kemudian kalau kita perhatikan peruntukan yang ada, khususnya Perkara 55, Yang di-Pertuan Agong berkuasa memanggil. Tak disebut nasihat. Cuma kita masukkan Perkara 40, nasihat itu sebagai keperluan umum sebagai Raja Berpelembagaan, Baginda menjalankan peranan sebab mengikut nasihat kerajaan yang memerintah.
“Tetapi sebenarnya saya sebagai Ahli Dewan, saya tahu, ia (nasihat) bukan arahan tetapi benda yang rutin. Kalau ada satu keadaan di mana, siapa pun termasuk kerajaan, di mana menyekat benda itu Agong sebagai penjaga Perlembagaan boleh bertindak.
“Satu lagi perkara, Parlimen tak boleh melampaui 6 bulan. Tiap-tiap 6 bulan kena bersidang. Carilah jalan macam mana dalam Covid. Harus disebutkan Darurat tidak menggantung Perlembagaan, kalau kita baca Fasal 1 sampai yang terakhir Fasal 9 Darurat dan Parlimen boleh bergerak seiring. Darurat bukan bermaksud menggantung Parlimen. Parlimen perlu meneliti atau membentangkan Ordinan (undang-undang dalam keadaan Darurat) dalam Dewan,” katanya.
Bagi ADUN Tebing Tinggi itu, sekiranya Darurat adalah kuasa mutlak yang boleh menutup Parlimen maka Malaysia akan menjadi negara diktator yang mana undang-undang boleh dibuat tanpa perbahasan. Hal itu, katanya bukan tujuan Perlembagaan Persekutuan ditulis yang memasukkan kuasa Darurat diberikan kepada kerajaan memerintah untuk menyelesaikan sesuatu masalah dalam keadaan luar biasa.
Beliau juga menimbulkan, sekiranya nasihat PM sebagai kuasa pemutus membuka Parlimen bagaimanakah keadaanya jika PM menghadapi Undi Tidak Percaya dan beliau menutup terus Parlimen?
Dalam pada itu, Aziz bersetuju dengan tempoh 14 hari yang diberikan oleh Umno untuk kerajaan membuka sidang Parlimen yang dianggap beliau munasabah dalam keadaan Covid 19 dan memerlukan persediaan rapi.
Mengenai dua tokoh perundangan dan akademik yang mengingatkan Raja-raja Melayu agar tidak masuk perangkap dengan mengeluarkan kenyataan dalam krisis sekarang, Dr Aziz tidak bersetuju dengan pandangan berkenaan.
“Saya terperanjat tulisan 2 sosok. Bekas Ketua Hakim Negara dan pemegang kerusi raja-raja di UiTM.
“Keseluruhan, apa yang saya boleh petik pandangan mereka, Raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong dalam keadaan bahaya diperangkap. Ini perkara yang saya lihat lucu juga. Orang yang pandangannya sayap kanan seolah-olah berkata raja tidak cerdik. Itu kesan yang kita dapat.
“Bila dikatakan Raja-raja (perlu) berhati-hati supaya tidak terperangkap, maknanya Raja-raja tidak cerdik.
“Sekarang baru kita tahu mengapa Raja Melayu pada 1983 menolak atau tidak perkenan pindaan Perlembagaan untuk memindahkan kuasa Darurat daripada Agong kepada PM.
“Krisis 1983 itu, antara isu (Darurat) yang menyebabkan krisis. Jadi peruntukan 150 dari Fasal 1 sampai Fasal 9 memang nampak banyak lompang di mana kerajaan boleh bermain-main dan nampak peranan Agong.
“Undang-undang Perlembagaan ini harus difahami dalam konteks sejarah, masyarakat. Dia tidak boleh difahami dalam konteks yang terpisah terutama apabila kita mahu memahamkan rakyat biasa,” katanya lagi.
Ketua Pembangkang DUN Perak itu jelas tidak bersetuju dengan pendapat Agong kononnya telah melampaui kuasa dengan membincangkan isu-isu pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional. Sedangkan perkara terbabit, kata Aziz, dibenarkan oleh Perlembagaan.