JAHAT SUNGGUH...BERITA PALESU RUPANYA...

 

Surat kait Hishammuddin jawatan PM palsu, kata pasukan komunikasi





Pasukan komunikasi Hishammuddin Hussein dalam Twitter berkata, surat tersebar yang dikaitkan dengan Menteri Luar itu adalah palsu dan tidak benar. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Pasukan Komunikasi Hishammuddin Hussein berkata, sepucuk surat yang mendakwa bahawa Menteri Luar itu mendapat sokongan Barisan Nasional (BN) untuk memimpin kerajaan baharu adalah palsu.

“Surat tersebar yang dikaitkan dengan Hishammuddin adalah palsu dan tidak benar.

“Ini hanyalah provokasi politik yang berniat jahat, mengadakan fitnah untuk mengelirukan umum,” kata pasukan itu di Twitter.

Sebelum itu, tular satu gambar surat sokongan yang dimuat naik di laman sosial.

Menurut surat itu, Hishammuddin mahu mempersembahkan jumlah sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong yang dikatakan menyokongnya untuk membentuk kerajaan baharu.

Surat itu dikatakan mendapat sokongan BN dengan sebulat suara menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

Surat itu juga memuatkan barisan Kabinet yang diharapkan Hishammuddin, termasuk Darell Leiking daripada Warisan sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya serta bekas Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar sebagai Menteri Air, Tanah dan Sumber Daya Alam.

Azalina Othman Said dari Umno pula dilantik sebagai Menteri Luar yang seterusnya manakala bekas Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Perdana Menteri I, merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Pertahanan.

Pada 11 Jun lalu, Warisan menafikan mengeluarkan surat bagi menyokong Hishammuddin sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua, berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sedemikian bersama PAS, seperti yang tular.