'Penafian Zahid itu yang karut dan cerita kartun' - Nazri Aziz


Irwan Muhammad Zain
'Penafian Zahid itu yang karut dan cerita kartun' - Nazri Aziz
Nazri mendakwa awal tahun ini beliau ditipu oleh Zahid sehingga membuat keputusan untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membuktikan beliau masih mempunyai sokongan 25 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
Nazri mendakwa, Zahid tidak mempunyai bukti untuk menafikan semua 25 Ahli Parlimen BN terbabit hilang keyakinan terhadap kepimpinan beliau.
Malah beliau juga mendakwa kenyataan balas Zahid kepada sebuah portal berita pada Khamis berkaitan isu itu, yang sebenarnya karut dan 'cerita kartun'.

"Respons Zahid terhadap apa yang saya katakan itu (25 Ahli Parlimen BN hilang keyakinan terhadap Zahid) sebenarnya yang karut dan 'cerita kartun'.
"Kalau dia berani, panggil semua Ahli Parlimen BN dan tunjukkan bukti bahawa mereka semua masih menyokongnya," katanya kepada Astro AWANI di sini, hari ini.
BACA: Nazri Aziz akui kumpul SD sokong Hisham, hilang kepercayaan terhadap Zahid
Semalam, media melaporkan Nazri mendakwa 25 daripada 42 Ahli Parlimen BN telah hilang kepercayaan terhadap Zahid.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan Zahid menyifatkan dakwaan itu sebagai karut dan hanya 'cerita kartun'.
Mengulas lanjut, Nazri mendakwa Zahid sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai kerana tindakannya sebelum ini.
Nazri mendakwa awal tahun ini beliau ditipu oleh Zahid sehingga membuat keputusan untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Saya tarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin pada 12 Januari lalu kerana ditipu oleh Zahid yang merancang untuk menjatuhkan kerajaan.
"Zahid rancang, Ahli Parlimen UMNO yang tidak pegang jawatan dalam kerajaan tarik sokongan one by one, hingga kerajaan ini jatuh.
"Sebagai tanda setiakawan dan percaya kepada beliau, saya menarik sokongan selepas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob membuat keputusan yang sama.
"Selepas saya dan Jazlan, tiada siapa yang umum tarik sokongan termasuklah Zahid. Sebagai presiden parti yang merancang semuanya, sepatutnya dia yang pertama tarik sokongan," dakwanya lagi.
Jelas Nazri, yang lebih mengecewakan apabila beliau mendapat tahu Zahid tetap mengambil peruntukan yang diberikan kepada Ahli Parlimen kerajaan.
"Sepatutnya kalau dah rancang nak jatuhkan kerajaan dan minta tarik sokongan, beliau tidak ambil peruntukan tersebut. Tetapi itu tidak berlaku, beliau tidak tarik sokongan dan terus ambil peruntukan," dakwanya.
Ditanya adakah beliau akan kembali menyokong Muhyiddin, Nazri berkata semunya akan boleh dilihat apabila Parlimen kembali bersidang.
"Saya tidak perlu umum apa-apa, lihat saja nanti apabila Parlimen kembali bersidang.
"Jika ada undi dalam dewan nanti, saya akan kembali kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO, kekal sokong kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan," jelas beliau.

No comments: