7 ditahan selepas cuba buat demonstrasi di kawasan PKPD

 

Ketua Polis Daerah Tawau Peter Umbuas berkata, kumpulan itu dipercayai mahu menyuarakan masalah dihadapi penduduk akibat PKPD.

PETALING JAYA: Polis menahan tujuh orang kerana melakukan demonstrasi di luar Kampung Muhibbah Raya, Tawau yang kini di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Ketua Polis Daerah Tawau Peter Umbuas berkata, mereka yang ditahan akan dikompaun di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

“Jumlah kompaun belum ditetapkan. Kami juga sedang menyiasat sama ada mereka melakukan kesalahan lain,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 3 petang itu, sekumpulan orang berhimpun untuk menyuarakan masalah dihadapi penduduk yang terjejas akibat PKPD.

PKPD di situ sebelum ini dijadualkan berakhir hari ini, namun dilanjutkan sehingga 8 Mei.

Susulan penangkapan itu, pesanan ringkas disebarkan di media sosial menggesa solidariti bersama mereka yang ditahan.

Sumbernya tidak diketahui, namun menggunakan tanda pagar #SolidaritiRakyat! #SuaraTawau dan #DemonstrasiBukanJenayah.

Menurut pesanan itu, perhimpunan dianjurkan susulan pengumuman PKPD yang didakwa menjejaskan kebajikan dan kehidupan penduduk.



No comments: