Selaku Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi kini memikul beban serta tanggungjawab paling besar dalam sejarah parti itu.
Dibahunya terpikul tugas untuk memastikan UMNO kembali berkuasa setelah ia ditewaskan buat pertama kali pada PRU14 lalu.
Berbanding Presiden UMNO sebelum ini yang hanya bertanggungjawab mengekalkan kemenangan dan mempertahankan kuasa, inilah kali pertama seorang peneraju parti itu perlu memikul beban menebus kembali kuasa yang telah hilang.
Lebih-lebih lagi, berikutan akar umbi telah memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu, walaupun UMNO kini berada dalam kerajaan PN, ia juga harus menghadapi PRU15 akan datang dengan kedudukan sebagai pembangkang.
Maka, tugas dan tanggungjawab beliau adalah paling berat berbanding semua Presiden UMNO sebelum ini yang juga pada waktu yang sama turut memegang jawatan Perdana Menteri.
Zahid Hamidi pula sudahlah tugasnya paling berat, beliau juga tiada apa-apa jawatan dalam kerajaan.
Untuk itu, mampukah tugas tersebut dipikul Zahid Hamidi dan bolehkah UMNO kembali berkuasa semula di bawah kepimpinannya?
Realitinya, bukanlah mustahil untuk UMNO mampu merebut kembali kuasanya yang hilang itu, tetapi yang pertama sekali, ia harus lebih dulu memastikan dirinya benar-benar bersih daripada segi dalamannya sebelum berhadapan musuh yang sebenar.
Walaupun musuh yang bakal dihadapinya dalam PRU15 ialah Bersatu bersama PN serta PH, tetapi musuh sebenar dan lebih besar adalah kluster menteri yang ada dalam UMNO sendiri sekarang ini.
Sejak PAU2020 memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu dan wakil UMNO diputuskan akan keluar daripada kerajaan pada suatu masa yang belum ditetapkan, sebahagian pemimpin kluster menteri kemudiannya didapati jadi macam cacing kepanasan dibuatnya.
Kelemahan UMNO yang paling ketara di sini ialah di sebalik ketetapan putus hubungan dengan Bersatu telah dipersetujui, tetapi tiada tarikh khusus keluar daripada kerajaan diputuskan bersekali dengannya.
Itulah yang mendorong sebahagian pemimpin kluster menteri tampil menggesa agar pemilihan UMNO disegerakan dengan andaian kepimpinan Zahid Hamidi menerajui UMNO kononnya tidak stabil serta sedang dipertikaikan.
Jika dalam PAU lalu, bersama dengan ketetapan putus hubungan yang telah dipersetujui akar umbi, ia turut disertakan dengan penetapan keluar kerajaan dengan segera, pasti kluster menteri tiada alasan lagi untuk bercakap tentang keperluan pemilihan UMNO perlu disegerakan.
Ternampak bahawa desakan agar pemilihan UMNO disegerakan itu lebih bertujuan untuk mengubah ketetapan PAU2020 dengan berselindung di sebalik alasan kepimpinan Zahid Hamidi tidak stabil dan sedang dipertikaikan.
Tidakkah Zahid Hamidi sebenarnya telah diberi sokongan dan mandat penuh pada PAU baru-baru ini?
Yang nyata, yang menyebabkan UMNO kelihatan tidak stabil dan mereka mempertikai kepimpinan Zahid Hamidi adalah daripada kluster menteri atau kalangan yang diketahui dekat dengan mereka saja.
Selagi kluster menteri ini tidak dibersihkan, selagi itulah UMNO akan berhadapan masalah besar untuk menang pada PRU15 akan datang.
Ini kerana sebahagian kluster menteri itunbukan mahukan UMNO kembali berkuasa sebagaimana dimahukan akar umbi atau pemimpin yang setia kepada parti, sebaliknya mereka lebih mahukan Bersatu dan Mahiaddin Md Yasin kekal menerajui kuasa, sambil harapan lebih utama ialah mengekalkan kedudukan mereka sebagai menteri.
Dengan mandat akar umbi di belakangnya, Zahid Hamidi tidak harus bertangguh lagi daripada membawa UMNO keluar meninggalkan kerajaan dengan segera.
Tidak ada kompromi lagi bagi beliau berbuat demikian dalam mesyuarat MT petang ini jika hasrat akar umbi mahu UMNO kembali berkuasa benar-benar ingin direalisasikan.
Melalui keputusan tersebut, selain kedudukan kluster menteri dapat dikenalpasti sama ada sebahagian atau semuanya atau pengikut mereka masih setia kepada UMNO atau ada yang mahu bersama Bersatu, UMNO dengan sendirinya selepas itu tiada lagi kluster musuh dalam selimut di dalamnya.
Kluster mahkamah dalam UMNO adalah musuh bagi Bersatu, tetapi musuh yang perlu dibersihkan dalam UMNO ialah sebahagian kluster menteri yang berjiwa Bersatu.
Dengan itu, bersama semangat akar umbi yang tentunya akan membuak-buak untuk kembali berkuasa, UMNO akan lebih mudah menghadapi musuh di luar selimutnya dalam PRU15 nanti.. (ShahbudinHusin 25/04/2021)