Selangor akan buka 4 Pusat Kuarantin Transit Covid 19
Kerajaan Negeri Selangor merancang untuk membuka Pusat Kuarantin Transit di daerah Klang, Hulu Langat, Petaling dan Sepang bagi menangani penularan pandemik Covid-19 dalam komuniti.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amrudin Shari, pusat transit itu akan bertindak sebagai sokongan kepada individu yang disahkan positif Covid-19 atau yang sedang menunggu keputusan ujian saringan, bagi menjalani kuarantin kendiri sebelum dihantar untuk rawatan di hospital.
“Pusat Kuarantin Transit ini adalah untuk golongan terbabit atau mana-mana individu yang kediamannya tidak sesuai untuk kuarantin kendiri, kerana pengudaraan rumah yang kurang bagus serta bilangan bilik tidak banyak tetapi isi rumah ramai
“Bagi individu yang sedang kuarantin kendiri sementara di fasiliti itu dan ujian saringannya disahkan positif, mereka akan terus dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang atau ke hospital,” katanya dipetik.
Menurut Amirudin lagi, inisiatif kerajaan negeri itu akan memberi fokus kepada penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang mungkin padat dan tidak mempunyai ruang sesuai untuk kuarantin kendiri di rumah.
Kebelakangan ini daerah Klang, Hulu Langat, Petaling dan Sepang menjadi penyumbang tertinggi kes positif harian Covid-19 di Selangor.
Kewujudan Pusat Kuarantin Transit itu akan diperluaskan pada masa hadapan sekiranya berkesan menangani Covid.