Keputusan Mahkamah Persekutuan mengenakan denda tinggi terhadap portal Malaysiakini dan serbuan polis terhadap penerbit buku Gerakbudaya memperihatkan Malaysia bergerak ke arah anti demokrasi.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya bertanggungjawab memelihara kebebasan bersuara dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bukan sebaliknya, menidakkan perkara berkenaan.
“Saya terkesan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini terhadap laman berita Malaysiakini atas sebab menghina mahkamah dan juga denda yang melampau tinggi yang dikenakan terhadapnya. Serbuan polis terhadap Gerakbudaya dan tindakan merampas sebahagian dari komputer mereka adalah juga memprihatinkan.
“Kebebasan bersuara adalah tiang seri dan elemen terpenting dalam mana-mana sistem masyarakat yang demokratik. Kesemua cabang pemerintah adalah bertanggungjawab dalam memelihara dan melindungi kebebasan bersuara sepertimana yang diperteguh di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam perkara terkait penghinaan terhadap mahkamah dan subjudis, kita boleh bersetuju dengan sudut pandang Majlis Peguam bahawa mesti wujud keseimbangan antara pemeliharaan prinsip kebebasan bersuara dan penegakan hukum yang jelas,” katanya.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan itu lagi, PN tidak wajar menyokong sebarang langkah anti demokrasi dalam mana-mana institusi kerajaan
Katanya, hanya pemerintah yang diragui keabsahan dan takut dipersoalkan rakyat sahaja yang melakukan atau bersetuju kepada tindakan menekan kebebasan bersuara atau mengganggu media bebas.
“Dalam masa yang sangat singkat PN mengemudi negara, tampaknya terdapat serangan yang berterusan ke atas kebebasan bersuara dan kebebasan media, termasuk penyiasatan dan gangguan terhadap para wartawan, para pemuka masyarakat madani, ahli-ahli Parlimen dan kini badan-badan berita yang bebas.
“Pemerintah yang kuat dan punyai keyakinan terkait keabsahan mereka tidak mungkin akan berkelakuan seperti ini. Apa yang kita dihadapkan hari ini adalah sikap sebuah kerajaan yang lemah yang sentiasa mencari jalan untuk mengelak dari masyarakat umum serta kebertanggungjawaban dalam bentuk Pengisytiharan Darurat, penggantungan Parlimen juga serangan yang berterusan terhadap media yang bebas,” katanya.
Serangan-serangan ke atas media seperti itu kata Anwar adalah petanda jelas negara sedang bergerak ke arah kediktatoran.
“Malaysiakini tidak dituduh kerana melaporkan berita palsu, tetapi mereka dihukum kerana komen-komen yang ditinggalkan oleh pengguna-pengguna internet yang tidak dikenali di laman berita mereka.
“Taktik semacam ini pernah dilakukan oleh banyak kerajaan di seluruh dunia, dan ini adalah tanda-tanda bahawa Malaysia sedang bergerak pantas ke arah kediktatoran.
“Tindakan ini hanya akan merobek kepercayaan dan keyakinan dalam soal penegakan negara hukum di Malaysia dan akan menjauhkan lagi para pelabur asing dari negara ini,” katanya lagi.
Justeru, kata Anwar, beliau amat terharu dengan dukungan rakyat terhadap Malaysiakini.
Katanya, majoriti rakyat Malaysia senantiasa komited dalam memperteguh dan mempertahankan prinsip-prinsip dan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Untuk rekod, Mahkamah Persekutuan pagi tadi menjatuhkan hukuman denda RM500,000 terhadap Malaysiakini kerana bersalah menyiarkan beberapa komen yang dianggap menghina mahkamah ditinggalkan pembaca ruang di Facebook agensi berita itu.