Restoran dibenar hidang arak kerana tidak bertentangan dengan SOP PKP

 


Restoran dibenar hidang arak kerana tidak bertentangan dengan SOP PKP


Restoran dibenarkan menghidangkan arak dengan makanan kerana tidak bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP), kata penasihat undang-undang Persatuan Pemilik Restoran & Bistro hari ini.

Ia adalah resposn peguam David Gurupatham terhadap tindakan polis malam tadi yang mengarahkan beberapa restoran sepanjang Jalan Telawi di Bangsar untuk berhenti menghidangkan arak, kononnya bagi mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut seorang pemilik, polis kembali beberapa jam selepas itu dengan arahan baharu bahawa mereka boleh menghidangkan arak, tetapi tanpa “pelayan dan lampu bar”.

“Di bawah SOP semasa, tidak ada larangan untuk restoran menghidangkan arak dengan makanan.

“Sekatan, seperti yang saya fahami, adalah untuk pub dan kelab untuk tidak menghidangkan makanan, bukan sebaliknya,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pihak penguat kuasa terikat dengan parameter undang-undang dan tidak boleh bertindak “sewenang-wenangnya”.

“Apabila wujud kesan perundangan, pihak penguat kuasa bertanggung jawab menunjukkan peruntukan undang-undang tepat ketika menyekat hak asasi yang diberikan kepada rakyat berdasarkan perlembagaan persekutuan,” tambah Gurupatham.

Beliau meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah dan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa supaya segera menjelaskan kedudukan kerajaan berkenaan hal itu, dan sekiranya gagal, premis boleh membawa isu itu ke mahkamah.

“Hak untuk hidup dan mata pencarian dilindungi di bawah Perkara 5 perlembagaan persekutuan.

“Pada saat industri F&B (makanan & minuman) berdepan penutupan dan pemberhentian kerja, ini bagaikan luka dicurah garam,” katanya.

Gurupatham juga berkata, tidak ada data saintifik yang mengaitkan penjualan arak di restoran sambil mematuhi SOP dengan penularan Covid-19 lebih meluas. 



No comments: