Sumpah dan sumpah-sumpah

 

Dalam filem komedi P Ramlee antara dialog “catchy” yang kerap ditonjolkan berbunyi “sumpah waullah”. Dilafazkan oleh watak untuk membuktikan dia berkata benar dan tidak berbohong.

Zaman saya budak-budak dulu apabila kami nafi melakukan sesuatu kesalahan – seperti makan rambutan sorang-sorang sampai habis tanpa berkongsi dengan kawan-kawan walau pun sudah berjanji nak share – atau ‘melepas’ dengan senyap angin yang baunya menusuk hidung, kami sanggup bersumpah untuk membuktikan kami tidak bersalah. “Simple” je, Cuma perlu kata “sumpah aku tak buat”.

Namun jika pihak yang menuduh (terdiri daripada budak-budak juga seperti kami) tidak berapa percaya atau ragu-ragu dan mahukan kepastian kami benar-benar bercakap benar, mereka akan meminta kami “sumpah dengan nama Allah”.

Jika benar kami tidak bersalah itu tidak jadi masalah. Dengan senang kami bersumpah dengan nama Allah.

Bagaimanapun jika kami sebenarnya sudah berbohong dan bersumpah pada awalnya hanya untuk melepaskan diri, kami tidak akan berani “bersumpah dengan nama Allah”. Lantas akan mengaku akan kesalahan dan kesilapan yang dilakukan.

Mengapa tidak berani sumpah dengan nama Allah? Kerana takut akan dapat pembalasan daripada yang Maha Besar. Takut dilaknati. Kesimpulanya takut dengan Tuhan walaupun masih budak-budak.

Antara definisi sumpah ialah menyatakan kebenaran, berjanji, dan berikrar. Apa pula definisi “bai’ah”?

Merujuk maklumat yang diperolehi antaranya – maksud “bai’ah” adalah janji sumpah setia, pengakuan, ikrar yang diberikan oleh seseorang kepada pihak lain untuk mengikat dirinya dengan sesuatu peraturan, pekerjaan, amalan atau lainnya. “Bai’ah” bermaksud berjanji untuk taat dan sememangnya wujud dalam amalan Islam. Bagi saya “bai’ah” juga ialah satu bentuk bersumpah.

Beberapa hari lalu satu laporan FMT memetik Presiden Pejuang (parti yang pendaftarannya belum diizin pihak berkuasa) Mukhriz Mahathir sebagai berkata, beberapa pemimpin dari bekas partinya – PPBM – pernah melakukan sumpah “bai’ah” sebelum pilihan raya 2018, namun ia tidak menghalang mereka daripada menjadi “pengkhianat”.

Dengan berkata “menjadi pengkhianat” jelas beliau merujuk tindakan beberapa pemimpin PPBM yang melaksanakan apa yang dikenali sebagai Langkah Sheraton, yang menyaksikan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional.

Oleh itu, menurut Mukhriz, tiada jaminan bahawa pemimpin partinya sekarang – Pejuang – tidak akan melompat parti walaupun berbaiah dengan Al-Quran untuk tidak berbuat demikian.

Jika apa yang beliau katakan itu benar, ini menyedihkan dan membimbangkan kerana bersumpah atau berbai’ah dilihat oleh masyuarakat Melayu-Islam khususnya sebagai ikatan seseorang kepada janji dan ikrar atas nama Allah.

Menurut Mukhriz, apa sahaja bentuk saringan yang dilakukan, akhirnya terserah kepada individu sendiri sama ada mereka mahu melompat parti tetapi “saya harap mereka ada sedikit rasa tanggungjawab bahawa apabila dah berbaiah dia tidak boleh lari daripada perjuangan asal”.

Bercakap secara umum (bukan sahaja dalam konteks PPBM mahupun Pejuang) persoalan yang timbul ialah adakah seseorang sanggup bersumpah semata-mata untuk melepaskan diri atau sekadar memuaskan tuntutan manusia? (lantas ada poligraf atau ujian mengesan pembohongan tetapi ini pun boleh ‘ditipu’)

Pun begitu saya difahamkan ada beberapa cara untuk membatalkan atau menarik kembali “bai’ah”. Waullahualam.

Berbalik kisah filem komedi P Ramlee, istilah “sumpah” selalu digunakan. Masa budak-budak dulu setiap kali orang bercakap mengenai sumpah-sumpah, ingat saya mereka bercakap mengenai orang yang selalu atau suka bersumpah. Orang yang sumpah dua tiga kali.

Rupa-rupanya sumpah-sumpah ialah sejenis reptilia yang kulitnya berwarna hijau atau coklat dan boleh bertukar warna mengikut sekeliling.

Bercakap mengenai sumpah (bukan sumpah-sumpah), bagaimana pula keadaannya orang yang bersumpah di dalam masjid, di depan Kaabah, menjunjung, atau memegang Al-Quran?

Dulu mesyuarat pimpinan tertinggi Wanita Umno diadakan dengan Al-Quran ditempatkan di atas meja depan pengerusi mesyuarat iaitu ketua Wanita. Ini memberi gambaran, atau lebih tepat, bagi “memastikan” apa yang diperkata dan dijanji oleh mereka yang menghadiri mesyuarat itu adakah sesuatu yang benar dan iklas. Saya tidak tahu sejauh maka keberkesanannya. Saya juga tidak pasti sama ada Al-Quran masih diletakkan di depan pengerusi setiap kali Wanita Umno bermesyuarat.

Ada orang letak Al-Quran di depan pintu rumah atau di bawah bantal. Katanya untuk menghalau hantu dan syaitan. Ada yang gantung Al-Quran kecil di cermin kereta supaya selamt perjalanan. Banyak lagi “kegunaan” Al-Quran.

Teringat kata-kata Pak Tuan – Allahyarham Haji Tahir – imam masjid Kampung Baru ketika belajar mengaji masa kecil-kecil dulu: “Al-Quran untuk dibaca dan difahami kandungannya”.

Cukup setakat ini, sebelum saya dituduh nak berkhutbah tanpa tauliah.

Diucapkan selamat solat Jumaat kepada yang diberi kesempatan mendirikannya pada waktu pandemik masih melanda.