Pengumuman Menteri Pelajaran untuk membuka kelas persekolahan bermula Mac 2021 adalah sangat memeranjatkan apatah lagi apabila ia dilakukan sehari selepas Perdana Menteri melancarkan program Didik TV di bawah Kementerian Pelajaran.
Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata Menteri Pelajaran telah gagal memberi penjelasan kukuh dan rasional akan pengumuman segera pembukaan kelas-kelas persekolahan di seluruh negara yang merangkumi semua zon jangkitan pandemik Covid-19.
“Bukankah lebih baik kerajaan memastikan rancangan bantuan peranti internet kepada para pelajar dilaksanakan segera sepertimana yang telah dijanjikan melalui Belanjawan 2021, dan seterusnya memberi ruang dan peluang kepada program PdPR mengambil tempat untuk dapat disusun secara lebih komprehensif dan efektif?
“Bukan sebaliknya direncatkan dengan segala keputusan dan tindakan pra-matang oleh Menteri Pelajaran.
“Amat malang apabila kita menyaksikan semua tindak-tanduk yang dilakukan oleh kerajaan terhadap masa depan pendidikan anak-anak sepanjang tempoh pandemik Covid-19, seolah-olah tanpa perancangan, pelan tindakan dan strategi objektif yang jelas,” katanya.
Bahkan beliau tidak menolak sama sekali keperluan untuk proses pembelajaran dan pengajaran normal dan bersemuka secara fizikal kembali mengambil tempat.
Namun katanya, hal yang lebih utama perlu diberikan perhatian oleh Menteri Pelajaran dan kementerian sebelum ia dilaksanakan, adalah sejauhmana kesiapsiagaan semua sekolah termasuk berkaitan prasarana persekolahan, guru dan para pelajar dalam memenuhi tuntutan SOP ketat, sepanjang pandemik Covid-19 masih gagal dibendung.
“Saya musykil, bahkan langsung tidak melihat inisiatif sebegini sebenarnya wujud. Bahkan apa yang dapat kita saksikan daripada semasa ke semasa adalah beberapa Menteri sendiri telah menjadi contoh terbaik dalam kegagalan mematuhi pelaksanaan SOP.
“Apa akan terjadi jika sekiranya, berlaku lagi kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan guru?
“Adakah tindakan lepas yakni penutupan kelas-kelas persekolahan secara tiba-tiba akan kembali dibuat, dan tidak ada sebarang penambahbaikan terhadap semua proses dan prosedur pengambilan keputusan ini?” soal beliau.
Katanya, rakyat tidak mahu keputusan membuka kelas persekolahan ini sekali lagi mengundang kepada rentetan tindakan flip flop kerajaan yang menyusahkan khususnya ibu bapa dan pelajar sepertimana yang telah berlaku sebelum ini,
“Dek kerana kegagalan yang berulang, termasuklah kegagalan kerajaan dalam memastikan kelengkapan segala keperluan para guru dan para pelajar untuk melalui proses PdPR yang berkesan,” ujarnya.
Justeru beliau berkata, Perikatan Nasional sedang menyerlahkan kelemahan tadbir urus yang sangat ketara akibat penutupan Parlimen yang seharusnya menjadi pusat semak imbang terhadap segala cadangan dan usul yang dikemukakan oleh pihak kerajaan.
“Pengkhianatan bukan sahaja telah memberi kesan buruk terhadap sistem Demokrasi Berparlimen Malaysia, tetapi kini menjalar ke setiap inci dan nadi kehidupan rakyat kebanyakan,” katanya..