Perjuangan BMF, peniaga Melayu Pas ke laut..KAH......

 

Image result for azan ismail


Perjuangan BMF, peniaga Melayu Pas ke laut

Hujung Februari ini genap setahun kerajaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara. Umum masih ingat perjuangan ‘hebat’ salah satu parti komponen terbesar dalam PN, Pas ketika menjadi pembangkang usai Pilihan Raya Umum ke 14 lalu.

Pas ketika itu berkobar-kobar memperjuangkan kempen Buy Muslim First (BMF) dan mahukan pembelaan total ke atas nasib peniaga kecil Melayu.

Melalui kempen BMF kaum Melayu Islam diarah memboikot perniagaan-perniagaan milik Cina yang dianggap penyokong DAP.

Namun selepas Covid 19 melanda dan peniaga Melayu gulung tikar akibat kekurangan pelanggan apakah tidakan Pas yang kini berada di dalam PN?

Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, Pas tidak melakukan apa-apa pun sejak setahun lalu bagi membantu peniaga Melayu.

Malah katanya, slogan BMF juga tidak lagi kedengaran di bibir pemimpin parti itu sama ada dalam ucapan rasmi mahu pun sewaktu memberi kuliah-kuliah di masjid.

“Semua yang Pas perjuangkan sebelum dapat kuasa seperti hudud, hapus arak, judi, maksiat, keadilan untuk arwah Adib, BMF dan segala macamnya sunyi sepi selepas mereka berkuasa.

“Hakikatnya Pas sudah berpuluh tahun memberi gambaran salah kepada orang Melayu dan Islam. Kononya bertekad mahu perjuangkan Melayu Islam tetapi bila jadi Kerajaan Persekutuan satu apa pun tak jalan.

“Jasa mereka adalah membuat rakyat taksub kepada perjuangan Pas. Hari ini mereka diam seribu bahasa. Tidak ada seorang pun yang bangkit perjuangkan apa yang mereka mahu laksanakan.

“Ekonomi orang Islam yang berskala kecil langsung tidak dipedulikan bila ramai yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Pas di Kelantan walaupun jadi kerajaan negeri tetapi diam soal air bersih dan sampai sekarang tak ada yang tampil selesaikan isu ini. Yang mereka tahu berlumba-lumba beli kereta mewah dan sebagainya,” kata Azan ketika dihubungi.

Menurut Azan lagi, Pas sepatutnya mengusahakan bantuan kepada peniaga kecil Melayu yang terjejas akibat kemelesetan ekonomi. Namun tiada bantuan serupa itu ditawarkan, walaupun di negeri-negeri yang majoritinya Melayu penyokong parti itu seperti di Kelantan dan Terengganu.

Malah katanya, barang keperluan bantuan banjir yang diusahakan Pas kepada penduduk di Pantai Timur baru-baru ini juga tidak pasti dibeli daripada pemborong Melayu atau Cina.

Kata Azan, sikap Pas ‘seperti kacang lupakan kulit’ itu kian terserlah selepas menjadi kerajaan pusat, yang mana mereka tidak fokus melaksanakan janji-janji manifesto pilihan raya mahu pun janji membela Islam.

“Realitinya Pas tidak langsung perjuangkan Melayu, slogan BMF itu hanya ayat hipokrit mengelirukan rakyat. Pas gunakan sentimen orang Melayu untuk tujuan politik semata-mata.

“Bila mereka dapat apa yang dimahukan, slogan dan perjuangan hanya tinggal dibibir sahaja,” katanya lagi.

Slogan BMF kebelakangan ini menjadi kritikan pedas dalam kalangan penyokong Pas apabila perniagaan Melayu satu demi ‘tutup kedai’ di tengah-tengah kegawatan ekonomi akibat Covid 19 dan PKP.

Rata-rata mereka mengungkit kembali perjuangan parti Islam itu sebelum dan selepas PRU 14. Termasuklah janji-janji dalam demonstrasi di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 2017 lalu yang bertekad mahu meluluskan pindaan Rang Undang-undang 355 tetapi sehingga hari ini tidak langsung disebut oleh kerajaan PN.



No comments: