Buka semula sekolah: Ambil kira status Covid 19 setiap negeri - PH

 

untitled image


POSTED BY AMIR WRLR


Pakatan Harapan (PH) menzahirkan kebimbangan terhadap arahan mengejut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mahu membuka kembali sesi persekolahan yang digantung akibat peningkatan jangkitan Covid-19, pada awal Mac ini.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pendidikan PH, gabungan itu mengambil maklum tentang kelemahan-kelemahan dan kekangan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang mungkin menyebabkan pihak kementerian membuat keputusan drastik untuk membuka kembali sessi persekolahan.

Bagaimanapun, kata mereka membuka sekolah memerlukan penelitian yang lebih menyeluruh dan bukannya terhad kepada indikator-indikator tertentu bahawa wabak Covid 19 telah terkawal serta tidak akan membahayakan murid-murid.

"Kami ingin menggesa KPM agar lebih teliti (dalam isu membuka sekolah) kerana ramai juga ibu bapa dan guru-guru yang tertanya-tanya apakah alasan utama untuk mereka kembali ke sekolah di kala pandemik masih belum benar-benar surut dan masih terdapat negeri dan kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah.

"Kekalutan pengumuman tanpa alasan (kukuh) yang diberikan telah menimbulkan seribu satu persoalan di kalangan rakyat," kata kenyataan Jawatankuasa Pendidikan PH.

Sehubungan itu, jawatankuasa tersebut mencadangkan agar beberapa pertimbangan diambil dan sekolah-sekolah diberikan kuasa autonomi sama ada perlu dibuka atau tidak berdasarkan situasi tertentu pandemik di sesuatu kawasan.

"Kami mencadangkan pembukaan semula sekolah di seluruh negara harus mengambilkira status negeri yang tidak sama seperti PKPP dan PKPB.

"Dalam hal ini kementerian wajar memberi kuasa autonomi kepada pihak sekolah yang merangkumi pengurusan sekolah, PIBG dan Lembaga Pengarah (jika ada) untuk membuat keputusan bersama untuk buka atau tutup sekolah kerana setiap lokasi yang berbeza memiliki kes dan keadaan yang berbeza. KPM tidak boleh membuat keputusan ‘pukul rata’ (‘blanket decision’) ketika pandemik sedang melanda negara kita.

"Dalam masa sama, sekolah juga haruslah memberi ruang kepada guru untuk fokus mengajar ketika sekolah dibuka kelak. Semua tugas pentadbiran, penulisan kertas kerja dan beban kerja kekemasan kelas tidak boleh menjadi keutamaan buat masa ini," kata mereka lagi.

Di samping itu, menurut mereka, guru-guru dan kakitangan sekolah harus menjadi prioriti, iaitu golongan pertama dalam program vaksinasi kerana pada saat sekolah beroperasi kembali guru juga adalah barisan hadapan yang berjuang untuk mendidik anak bangsa.

Kerajaan wajib mempunyai pelan menyeluruh bagi semua senario melibatkan pandemik Covid-19 agar ibu bapa, pelajar, guru malah semua yang turut terkesan dapat mengusahakan langkah-langkah persediaan yang rapi.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Baharom.