Pemangku Raja Pahang lepas saham syarikat bina tapak lupus sisa Lynas


Malaysiakini





Wong Kai Hui

Diterbitkan 
Dikemaskini 20 Feb 2021, 6:15 am
1

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah telah melepaskan 50 peratus pegangan saham dalam sebuah syarikat yang ditugaskan melaksanakan pembinaan tapak pelupusan kekal sisa (PDF) Lynas Malaysia di Kuantan.

Perubahan itu direkodkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 17 Feb lalu, hari sama Malaysiakini melaporkan kaitan kerabat diraja dengan Gading Senggara Sdn Bhd (GSSB).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gading Group Johari Harun, yang juga naib ketua Umno Bahagian Bentong turut melepaskan 40 peratus pegangan saham dan jawatan pengarah syarikat dalam GSSB.

Bagaimanapun, Johari masih pemilik syarikat induk Gading Group, yang sebelum ini dikatakan memiliki GSSB.

Pengarah GSSB Ahmad Radzi Zaini kini memegang 90 peratus saham GSSB yang pernah dimiliki Tengku Hassanal dan Johari.

Saham selebihnya sebanyak 10 peratus masih dipegang oleh Mohd Firdaus Redzuan, pengarah GSSB and Gading Group.

Selain Lynas PDF, GSSB juga merupakan kontraktor untuk tapak pelupusan sisa berjadual industri pelbagai kategori (MCISWDS), tempat kemudahan Lynas akan diletakkan.

Laporan Malaysiakini sebelum ini mengenai pemegang saham GSSB dibuat berdasarkan dokumen SSM yang dibeli pada 3 Februari, yang mempunyai rekod diserahkan kepada suruhanjaya itu pada 5 Oktober 2020.

Perubahan kepemilikan syarikat ditemukan oleh NGO Center for Combat Corruption and Cronyism (C4).

Dalam satu kenyataan hari ini, C4 mempersoalkan kelayakan GSSB untuk membangunkan tapak pelupusan kekal sisa Lynas.

"Dalam laporan kwangan untuk tahun yang berakhir pada Jun 2018, yang diserahkan dua tahun lambat ke SSM pada bulan Mei 2020, (menunjukkan) retained earning syarikat itu (pendapatan bersih selepas ditolak dividen kepada pemegang saham) tampaknya negatif, tidak ada pendapatan, dan mengalami kerugian selepas cukai.

"Setakat ini, projek MSICWDS berpotensi menelan belanja sehingga berbilion-bilion ringgit.

"Mengapa syarikat yang mempunyai daya maju kewangan yang dipersoalkan dan maklumat awam yang terhad dipilih untuk projek berskala besar yang melibatkan sisa berbahaya?

"Hubungan yang jelas dengan pelaku politik dan kerabat diraja juga menimbulkan asas nyata atas keprihatinan ini," katanya.

MSICWDS dan PDF Lynas akan dibangun di atas sebidang tanah seluas 202.35 hektar yang dikeluarkan dari Hutan Simpan Kekal Bukit Kuantan.

PDF itu bertujuan untuk menyimpan sisa toksik secara kekal dari Lynas 'Advanced Material Plant berhampiran pelabuhan Kuantan.

Pemprosesan bahan nadir bumi di kemudahan itu menghasilkan sisa toksik, termasuk residu sisa penulenan air larut lesap (WLP) yang radioaktif.

Walaupun sisa itu didakwa mempunyai radioaktiviti yang rendah, penimbunannya selama bertahun-tahun menimbulkan kebimbangan.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini gagal dalam usahanya untuk menghantar pulang sisa radioaktof tersebut ke Mount Weld di Australia Barat, tempat nadir bumi asli dilombong.

Ketika PH menjadi pembangkang, gabungan itu telah menyokong tunjuk perasaan terhadap kemudahan tersebut.

Bagaimanapun, sebagai sebahagian daripada syarat pelesenan barunya, Lynas Malaysia bersetuju untuk memindahkan operasi pemecahan dan larut lesap (cracking and leaching), yang menghasilkan sisa radioaktif, balik ke Australia Barat.

Sisa yang telah dihasilkan di sini sejak 2012 masih menjadi masalah dan tujuan pembinaan PDF untuk menyimpan sisa tersebut secara kekal.

Tetapi projek MCISWDS jauh lebih besar daripada PDF Lynas dan belum jelas bentuk sisa apa lagi yang akan disimpan di kemudahan tersebut.


No comments: