KEPUTUSAN KABINET DAN MAHKAMAH SEPATUTNYA ADA RUANG DISEMAK PARLIMEN


 1. Pertama saya menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dalam Kes Malaysiakini berkenaan isu penghinaan mahkamah.

2. Walaupun saya menghormati keputusan itu tetapi saya tidak bersetuju dengan keputusan itu kerana tidak sesuai dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara dan menyatakan fikiran.

3.Bagaimanapun kebebasan Mahkamah untuk mentafsir undang-undang dan akhirnya membuat keputusan perlulah dihormati dan kebebasan mahkamah itu dilindungi serta dipertahankan, betapa buruk sekalipun keputusan mahkamah itu.

4.Negara kita Malaysia mengamalkan prinsip pengasingan kuasa antara tiga cabang: Eksekutif, Kehakiman dan Perundangan (Parlimen).

5.Walaupun Penghakiman Mahkamah atau keputusan mahkamah berkuatkuasa sebagai undang-undang tetapi kuasa terakhir untuk menggubal undang-undang terletak secara eksklusif pada Parlimen.Ahli-ahli Parlimen adalah penggubal undang-undang sebenarnya.

6.Justeru itu, keputusan-keputusan mahkamah yang tidak baik yang jika dibiarkan akan memberi kesan undang-undang yang buruk seperti dalam Kes Malaysiakini ini hendaklah dibetulkan di Parlimen.

7.Tugas ahli-ahli Parlimen ialah menggubal undang-undang baru atau meminda undang-undang sedia ada supaya Mahkamah dapat mentafsir undang-undang itu dengan jelas seperti yang diniatkan ( intention) oleh Parlimen.

8.Kesimpulannya, Penggantungan Parlimen sekarang perlu ditamatkan.Darurat juga mustahak ditamatkan segera.Parlimen mesti berfungsi semula.Keputusan-keputusan pihak Eksekutif atau Kabinet Kerajaan dan keputusan-keputusan pihak Mahkamah hendaklah disemak oleh Parlimen.Itulah yang dimaksudkan sistem pengasingan kuasa dalam sebuah negara demokrasi.

Sekian.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

21 Februari 2021.



No comments: