Masa depan negara hanya terjamin jika ekonomi, politik stabil

 


POSTED BY AMIR WRLR


Senator Dewan Negara, Ismail Yusof menyifatkan masa depan negara akan hanya terjamin jika pertumbuhan ekonomi dan situasi politik berada dalam keadaan stabil.

Ketika mengulas ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Forum Politik 2.0 yang mengupas tajuk 'Masa Depan Malaysia, Ke Mana Kita?', beliau berpendapat sebuah negara yang demokratik seharusnya menjadi sebuah negara yang stabil.

"Malaysia merupakan negara demokratik. Justeru ia perlu menjamin kesaksamaan dan keadilan semua rakyat. Perpaduan dan keamanan harus terjamin.

"Namun ia hanya boleh dicapai jika pertumbuhan ekonomi negara dipacu, maknanya ekonomi mesti baik, kemasukan pelaburan asing perlu tinggi.

"Apa yang lebih penting, dua perkara ini hanya boleh dicapai kalau politik itu absah. Kerajaan yang sah dan ada kekuatannya," katanya.

Pada masa sama, Ismail berpandangan dua isu yang boleh dijadikan petunjuk jika negara sedang bergerak ke hadapan adalah isu pendidikan dan perkauman.

"Pendidikan melibatkan soal kesaksamaan sama ada bandar atau desa. Ia juga terkait dengan isu perkauman.

"Realitinya, mereka yang terhimpit dengan kemiskinan dan tidak mendapat pendidikan yang baik adalah mereka yang tinggal di desa.

"Sebab itu kita bimbang dengan nasib mereka, terutamanya apabila keputusan Kementerian Pendidikan yang mahu membuka sekolah semula.

"Ibu bapa sudah berbelanja beli gajet dan keperluan PdPR, tapi sekarang perlu belanja baju sekolah, keperluan asas sekolah termasuk duit poket.

"Semua ini berlaku kerana tidak ada keabsahan politik atau political will. Jadi seharusnya beri ruang kepada semua pihak khususnya ahli Parlimen, ADUN termasuk pemimpin masyarakat membantu mencari jalan penyelesaian.

"Kita tak pasti sama ada persatuan ibu bapa dan guru telah dipanggil dan adakah kerajaan dengar suara hati ibu bapa, pandangan cendekiawan, ahli ahli akademik, tokoh pendidikan. Sebab keputusan flip flop kerajaan memberi impak kepada proses pendidikan dan yang menjadi mangsa adalah anak bersekolah," katanya.

Ismail juga meminta kerajaan supaya memahami konsep membina negara bangsa.

"Kerajaan perlu memberi jaminan kepada perpaduan dan keamanan, soal keselesaan kepada rakyat, dan konsep merdeka diri dalam falsafah keadilan.

"Ini juga termasuk menjanjikan soal hak kemanusiaan, sebagai warganegara.

"Tetapi ini mestilah dipandu dengan ekonomi yang baik dan semua ini hanya dapat dilaksanakan kalau ada politik yang absah," katanya.