‘Pulang ke lubuk’, Khaled gesa ahli kekalkan UMNO parti haluan sederhana


Khaled Nordin berkata, walaupun UMNO sudah kembali ke Putrajaya, akar umbi perlu kembali kepada realiti sebenar kerana ujian sebenar buat parti itu ialah di medan PRU15. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin mengingatkan akar umbi UMNO untuk terus menjadikan UMNO sebagai parti memperjuangkan budaya politik pertengahan dan kesederhanaan, susulan timbul persepsi dan suara mendakwa ia mula menjadi parti bersifat “ultra Melayu Islam” selepas menjalin kerjasama politik dengan PAS.

“Ada mendakwa UMNO kini memainkan sentimen politik identiti sebagai senjata demi kemenangan politik jangka pendek. Saya ingin menegaskan populisme berasaskan ras dan kaum atau ethno-populism bukan cara UMNO untuk menawan dan mengurus Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Disebabkan itu, katanya, Barisan Nasional merupakan jenama politik sebati dengan masyarakat majmuk di Malaysia kerana membawa ideologi bersifat sederhana dan pendekatannya berasaskan muafakat serta pentadbirannya berhasil membangunkan Malaysia moden.

“Saya tegas dengan pendirian bahawa UMNO dan PAS adalah kekuatan politik yang ampuh. Namun, saya juga tegas mengatakan UMNO memerlukan BN untuk mengurus sokongan bukan Melayu, Sabah serta Sarawak.

“BN mesti terus menjadi jenama politik yang diperjuang dan dikukuhkan oleh UMNO, MCA dan MIC. Masakan hanya kerana tewas sekali, kita tinggalkan BN, membiarkan ia hidup segan mati tak mahu. Kerana itu BN mesti digelorakan semula, ia mesti diperjuangkan.”

Khaled berkata, walaupun parti yang ditubuhkan sejak 1946 itu sudah kembali ke Putrajaya, akar umbi parti perlu kembali kepada realiti sebenar kerana ujian sebenar buat parti itu ialah di medan pilihan raya umum akan datang.

“Janganlah kita lupa kuasa yang kita miliki waktu ini, dirampas tanpa mandat rakyat sebenar. Ingatlah, akhirnya dalam sedikit masa lagi, rakyat jua yang akan menentukan destinasi UMNO seterusnya.

“Saya tidak mahu wujud sikap sombong dalam diri kita. Sikap lupa daratan. Sikap tuan yang senantiasa hebat, dan yang tidak berkesudahan. Hikmah Melayu berpesan ‘bagaimana bunyi gendang, begitulah tarinya’, namun kita bertindak sebaliknya.”

Katanya, ahli UMNO seolah-olah melupakan langsung usaha pembaharuan parti, walaupun pernah dihukum rakyat.

Baginya, tidak mustahil situasi sama pada PRU14 berulang lagi.

“Apatah lagi bila kita hanya dilayan sebagai ‘penumpang’ dalam kerajaan sekarang.”




No comments: