Mantapkan PH, tidak perlu Grand Coalition, hanya kerjasama PRU

 Hassan Karim (@hakarim_51) | Twitter

Pembangkang tidak perlu dijenamakan semula dengan Grand Coalition atau Gabungan Perdana Pembangkang dalam menghadapi cabaran Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.

Sebaliknya, menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, kerjasama berbentuk electoral pact dalam kalangan parti-parti pembangkang akan lebih mudah diterima oleh para pengundi dan penyokong PH.

“Bagi saya Gabungan Perdana itu tidak penting. Jadi, apakah yang penting sekarang?

“Yang penting ialah status quo front pembangkang yang ada. Yang berdaftar dengan ROS secara rasmi; yang diiktiraf dari segi hukum ialah Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada tiga buah parti KEADILAN, DAP dan Amanah.

“Bagi saya, kita tumpukan di mana kekuatan yang kita ada. Jangan ‘dikejar tak dapat yang dikendung berciciran’. Mengejar Gabungan Perdana ibarat mengejar fatamorgana; PH yang sedia ada dibiarkan layu dan gerhana.

“Kita tumpukan di mana kita bertapak sekarang. Tiga parti dalam PH ini mempunyai sejarah lama bekerjasama dalam front pembangkang sejak Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat hinggalah ke Pakatan Harapan,” katanya.

Menurut Hassan lagi, proses membina jenama PH melalui tahun-tahun perjuangan yang panjang itu telah berjaya meyakinkan rakyat dan menarik sokongan padu sejak dua dekad lalu.

Katanya, dua parti utama KEADILAN dan DAP telah diterima umum dan mempunyai rekod baik mentadbir beberapa negeri. Biar pun Amanah parti baharu namun pemimpinnya yang berasal daripada Pas juga telah diterima masyarakat berbilang kaum di Malaysia

“Apa yang PH perlu lakukan sekarang ialah membuat post-mortem Kerajaan PH yang memerintah selama 22 bulan sejak Mei 2018 sehinggalah Februari 2020, sama seperti para doktor membedah mayat yang telah mati. Cari punca kematian jasad tersebut.

“Dengan analisis dan diagnosis yang teliti, kita cari di mana kejayaan Kerajaan PH; di mana kegagalannya. Kenali apa yang positif dalam pemerintahan PH dan apa pula yang negatif.

“PH perlu lihat semula common platform yang telah dipersetujui dari segi rangka dan isinya. Perlu ditambah dan dikemaskini. PH sudah ada Perlembagaannya dan struktur organisasi yang jelas dari peringkat tertinggi Majlis Presiden PH sehinggalah ke Jawatankuasa Peringkat Parlimen PH. Yang perlu ialah kita tekan butang yang betul iaitu “button on” bukannya “button pause”,” katanya.

Menurut Hassan lagi, formula mudah penyatuan ialah dengan parti-parti pembangkang lain menjalinkan kerjasama dengan PH yang menjadi tunggak. Hal itu juga sama sebagaimana di dalam Perikatan Nasional yang bukan semua parti kerajaan berada di dalam satu gabungan.

“PH sebagai satu unit gabungan politik yang rasmi boleh mengadakan persefahaman pilihan raya (electoral understanding) dengan Warisan dan Pejuang. Apakah tujuannya persefahaman pilihan raya itu? Objektif utamanya ialah untuk mempastikan semua kerusi pilihan raya sama ada parlimen atau DUN di seluruh negara ditandingi dan mengelakkan pertemuan tiga penjuru sesama sendiri.

“Kerjasama dalam bentuk persefahaman pilihan raya bukan sesuatu yang baru. Seawal PRU tahun 1986, kerjasama persefahaman pilihan raya pernah wujud di kalangan front parti-parti pembangkang, antaranya PAS, Parti Rakyat (PRM) dan Nasma di dalam satu kerjasama longgar yang dipanggil Harakah Keadilan yang mana DAP memilih untuk berada di luar persefahaman tersebut,” katanya.

Kata Hassan, sejak 30 tahun kebelakangan pula wujud pelbagai jenis kerjasama yang dibentuk untuk menghadapi PRU.

Misalnya, ketika PRU 1990 tidak wujud gabungan pembangkang berdaftar seperti PH sekarang. Waktu itu Gagasan Rakyat merupakan kerjasama pilihan raya di antara Parti Semangat 46, DAP, Parti Rakyat (PRM), IPF dan PBS di satu pihak, manakala Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan secara tidak rasmi Semangat 46, Pas, Hamim dan Berjasa satu pihak lagi.

Hasilnya yang nyata ialah kerajaan Barisan Nasional di Kelantan tumbang pada PRU 1990 dan suara ahli parlimen Pembangkang bertambah di Dewan Rakyat.

Pilihan raya paling dekat di mana parti-parti pembangkang mengadakan kerjasama, kata Hassan, ialah dalam PRU 1999 dan PRU 2008. Gabungan Barisan Alternatif walaupun tidak berdaftar tetapi menjadi de facto front pembangkang. Hasil kerjasama PRU 1999 memperlihatkan kerajaan BN tumbang di Kelantan dan di Terengganu.

Manakala Pakatan Rakyat sebagai gabungan pembangkang tidak wujud secara rasmi sebelum PRU 2008. Hanya persefahaman pilihan raya di kalangan parti-parti pembangkang. Namun hasilnya menakjubkan. BN tewas di Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor. Di Dewan Rakyat pula buat pertama kali Kerajaan BN hilang majoriti dua pertiga.

“Apa yang ingin saya jelaskan di sini ialah pimpinan tertinggi PH tidak perlu sibuk-sibuk membina Gabungan Perdana yang gah dan indah dalam namanya tetapi lopong dan rapuh dalam rangka, struktur serta substance.

“Saya mencadangkan memadailah dengan PH sebagai satu unit bersatu dan padu. Gabungan rasmi front pembangkang boleh mengadakan kerjasama longgar dalam bentuk persefahaman pilihan raya dengan Warisan, Pejuang dan parti-parti politik lain yang ada di Malaysia seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) ataupun MUDA (Malaysian United Democratic Alliance) pimpinan Syed Saddiq,” katanya lagi.

Gabungan Perdana Pembangkang menjadi isu hangat apabila Timbalan Presiden Amanah mempromosikannya dalam beberapa siri forum media selepas Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengumumkan PH perlu membuat reset politik untuk survival masa hadapan.

Gabungan Perdana Pembangkang bagaimanapun ditentang keras oleh KEAIDILAN yang melihatnya sebagai percubaan untuk melemahkan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi PH.



No comments: