Gempar! Kerajaan PN jual aset Khazanah RM8 billion sejak Mac lalu

 

Gempar! Kerajaan PN jual aset Khazanah RM8 billion sejak Mac lalu


Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) meneruskan penjualan aset-aset terpilih Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) membuktikan strategi Pakatan Harapan (PH) adalah tepat.

Pada masa sama, kata Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil, berkata PN juga perlu jujur dan telus dalam segala langkah yang dilaksanakan dalam proses pemulihan Khazanah berkenaan.

“Ini menunjukkan PH melaksanakan tadbir urus korporat yang cekap.

“Sebaliknya, ia membuktikan segala tohmahan PAS dan Umno terhadap PH sebelum ini adalah salah dan bersifat gendang politik semata-mata.

“Justeru PN perlu jujur dan telus dalam segala langkah yang akan dilaksanakan dalam proses pemulihan Khazanah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Faiz yang juga anggota Jawatankuasa Amanah Kebangsaan berkata segala bentuk pelaburan baru yang akan dilakukan Khazanah mesti dibuat dengan teliti dan tanpa campur tangan politik.

Semasa PH menjadi kerajaan selepas PRU ke-14, gabungan itu dikecam hebat oleh pemimpin Umno dan PAS yang mendakwa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad hanya tahu menjual aset kerajaan.

Antara pemimpin Umno yang lantang mengkritik isu berkenaan ialah bekas perdana menteri Najib Razak.

Antara penjualan aset yang dipertikaikan Najib ialah penjualan 16 peratus kepentingan Khazanah dalam syarikat IHH Healthcare Berhad.

Selain itu Petronas pada 2019 meraih RM6 bilion apabila menjual pegangan dalam anak syarikatnya.

Penjualan aset anak syarikat Lembaga Tabung Haji juga turut menjadi pertikaian pemimpin Umno dan PAS yang ketika itu menjadi pembangkang.

Dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini Menteri Kewangan PN, Tengku Zafrul Abdul Aziz memberitahu sejak Mac lalu – dan selepas PH dijatuhkan – sehingga Sept RM8.03 bilion aset Khazanah dilupuskan.

Menurut Faiz berdasarkan kenyataan Tengku Zafrul itu, dalam tempoh tujuh bulan menjadi kerajaan secara purata kerajaan PN melupuskan RM1.15 bilion sebulan.

“Yang peliknya, semua pemimpin PN terutama PAS terus membisu seribu bahasa. Kalau dahulu, puak-puak ini sudah pasti bising dan lantang mengkritik PH.

“Namun sekarang, tidak ada pula kenyataan menentang tindakan PN ‘menjarah aset-aset negara’. Inilah sikap hipokrasi PAS yang tidak istiqamah dengan perjuangan,” katanya.

Pada masa sama kata Faiz langkah pengukuhan prestasi dan kredibiliti Khazanah yang dimulakan oleh PH sebelum boleh diteruskan dengan meletakkan aspek integriti dan tadbir urus korporat yang cekap sebagai asas.


No comments: