2 individu gesa Peguam Negara dakwa Hadi kerana menghasut

 

Individu terbabit mahu mahkamah mengisytiharkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang tidak layak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

KUALA LUMPUR: Dua individu dari Sabah menggesa Peguam Negara mendakwa Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana dikatakan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap penganut Kristian dalam lidah rasmi parti itu, empat tahun lalu.

Maklin Masiau, 48, dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian, 64, menuntut deklarasi bahawa Hadi melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3 Akta Hasutan.

Mereka yang memfailkan tuntutan itu di mahkamah tinggi minggu lalu, juga mahu deklarasi bahawa Hadi tidak layak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan, termasuk menteri.

Pada 2 April lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, sebagai wakil khas Malaysia ke Timur Tengah.

Ini berlaku sebulan selepas pemimpin PAS itu menjanjikan sokongan partinya terhadap kepemimpinan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri susulan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari lalu.

Dalam saman pemula difailkan Tetuan R Kengadharan & Co, mereka berkata Hadi membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap penganut Kristian dan/atau mubaligh Kristian dalam akhbar Harakah pada 18 Januari 2016.

“Sudah lebih empat tahun sejak defendan (Hadi) mengeluarkan kenyataan itu, tetapi tiada pendakwaan terhadapnya,” kata plaintif.

Dokumen diserahkan ke ibu pejabat PAS di sini, manakala Peguam Negara diberikan satu salinan semalam memandangkan kes itu litigasi kepentingan awam bertujuan mempertahankan kedaulatan undang-undang.

Mereka berkata, tuntutan itu difailkan kerana tiada sesiapa termasuk pendakwa raya (yang juga Peguam Negara) mahu mengemukakan saman terhadap Hadi.

Dalam afidavit menyokong tindakan itu yang dilihat FMT, plaintif juga berkata, kenyataan Hadi diterbitkan semula oleh FMT pada hari sama.

“Kami dengan hormat percaya defendan membuat kenyataan yang tidak berasas dan memfitnah orang Kristian dan/atau mubaligh Kristian.

“Kenyataan defendan menjejaskan masyarakat Kristian di negara ini, seterusnya menjadi isu kepentingan awam,” kata plaintif.

Menurut mereka, falsafah Hadi yang berbaur hasutan turut dicerminkan dalam kenyataan pada 28 Ogos lalu oleh Ahli Parlimen Pasir Puteh Muhammad Zawawi Salleh di Dewan Rakyat, “kitab Injil sudah dipesongkan”.



No comments: