PH alu-alukan peluang berniaga di Kuala Lumpur namun pastikan ada SOP

 






Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan (WP) mengalu-alukan idea Menteri Wilayah Tan Sri Annuar Musa membenarkan rakyat yang kehilangan kerja akibat pandemik Covid 19 berniaga di kawasan sesuai buat sementara waktu.

Namun menurut kenyataan Ahli-ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, satu Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu diwujudkan untuk menjamin kebersihan dan mengelakkan kesesakan lalu lintas apabila arahan itu berkuatkuasa pada 15 November ini.

"Kami mengalu-alukan semangat Menteri WP untuk bersikap mesra perniagaan dan menyediakan peluang perniagaan bagi mereka yang memerlukan terutama ketika waktu-waktu serba mencabar ketika kini.

"Walau bagaimanapun, Menteri WP mesti memastikan bahawa dasar baharu ini tidak disalahgunakan serta tidak menyumbang kepada masalah kebersihan dan kesesakan di bandar. Aspek keselamatan juga harus menjadi pertimbangan utama dalam pelaksanaan dasar ini.

"Pandemik ini juga telah memaksa penutupan lebih 30,000 PKS di seluruh negara. Untuk menjadi mesra perniagaan, Menteri WP harus mempermudahkan permohonan lesen bukan hanya untuk penjaja tetapi juga lain-lain perniagaan.

"Sudah 16 hari berlalu sejak kenyataan terakhir kami dan Menteri WP masih belum memanggil pertemuan dengan semua ahli Parlimen KL. Pertemuan ini sangat penting untuk perancangan dan perbelanjaan Belanjawan DBKL 2021, yang mana akan memberi kesan besar kepada kebajikan dan kesejahteraan warga KL," kata mereka dalam kenyataan bersama.

Kenyataan tersebut merujuk kepada arahan terbaharu Menteri Wilayah pada 10 November lalu yang menyebut, "Mulai Ahad 15 Nov ini, Kuala Lumpur akan menjadi 'wilayah bebas berniaga' …sesiapa yang ingin berniaga tidak kira sepenuh masa atau separuh masa boleh memilih tempat yang sesuai, misalnya depan rumah atau di tepi jalan kawasan perumahan."

Bagaimanapun, SOP masih belum dikeluarkan sebagai panduan kesesuaian kawasan, penjagaan kebersihan dan sebagainya.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Wangsa Maju Dr Tan Yee Kew, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran dan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

 

No comments: