Dua tu
KUALA LUMPUR – Belanjawan tahun ini jelas berbeza daripada bajet sebelumnya, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor.
Beliau berkata, sebagaimana dibahaskan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak kelmarin, sekarang masa luar biasa memerlukan langkah yang luar biasa.
Ini bermakna, maksud yang dibawa oleh Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Backbenchers Barisan Nasional (BNBBC) itu ialah Belanjawan 2021 ini perlu ditambah lagi untuk lebih memberi makna kepada rakyat.
Sebab itulah, kata Nor Hariri, BN konsisten memperjuangkan pengeluaran secara one-off RM10,000 dari akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan meminta kerajaan melanjutkan moratorium.
“Najib selaku mantan Menteri Kewangan berpengalaman selama sembilan tahun membentangkan bajet negara sepanjang menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri sebelum ini.
“Beliau tahu rakyat amat memerlukan joran berbanding ikan untuk survival diri dalam berdepan dengan cabaran hidup di era pandemik Covid-19 ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Hariri berkata, cadangan pengeluaran akaun 1 KWSP adalah joran terbaik kepada rakyat untuk mereka berusaha pelbagai kaedah mencari rezeki melalui berniaga sendiri serta menyara tanggungan dengan wang itu.
Jelas beliau, BN turut konsisten membela golongan golongan B40 dan M40 melalui cadangan melanjutkan moratorium pinjaman sehingga Jun 2021, kerana dalam tempoh itu rakyat dapat menggunakan punca pendapatan untuk perbelanjaan isi rumah yang lebih mendesak.
Katanya, kesan serampang dua mata itu dapat dilihat apabila pusingan modal ekonomi berlaku dan peminjam dapat diselamatkan daripada rekod buruk disenaraihitamkan untuk tindakan bankrup.
“Oleh itu, amat tidak kena pada tempatnya apabila Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadli Shaari menuduh BN seolah mahu menolak Belanjawan 2021.
“Beliau membuat perumpamaan ibarat Hikayat Puteri Gunung Ledang yang sengaja membuat permintaan pelik, sedangkan semua tuntutan BN itu dibuat melalui kajian yang terperinci oleh pakar ekonomi berpengalaman, bukan cadangan yang boleh menganiaya bank dengan menghapuskan hutang pinjaman.
“BN menggunakan platform yang tepat dengan membahas di Parlimen kerana rakyat tiada lagi tempat bergantung melainkan kita sebagai wakil dipilih mereka untuk menyuarakan hasrat dan kehendak yang mendesak,” katanya.
Beliau yakin, kerajaan yang prihatin itu akan mempertimbangkan tuntutan berkenaan dengan memasukkan bajet tambahan dalam Belanjawan 2021.
Apatah lagi, katanya, cadangan itu datangnya daripada wakil rakyat yang menyokong kerajaan. – MalaysiaGazette