A Kadir Jasin
1. Debaran berterusan. Tayangan berhenti
sebentar untuk " intermission". Ada penonton yang ke tandas. Ada
pergi beli bertih jagung. Ada yang curi-curi hisap rokok. Dan ada yang bosan
terus tinggalkan panggung.
2. Begitulah saga Selasa persembahan Ketua
Pembangkang, Anwar Ibrahim. Buat sementara waktu ini nampaknya ketidaktentuan
akan berterusan.
3. Dalam sidang akhbar selepas menghadap Seri
Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pagi tadi Anwar berkata, dia telah
memaklumkan yang dia mempunyai majoriti yang kuat dan meyakinkan.
4. Dia kedengaran menyebut lebih 120 Ahli
Dewan Rakyat yang menyokong pencalonannya sebagai Perdana Menteri. Dewan Rakyay
ada 222 orang ahli kesemuanya.
5. Kenyataan Istana Negara pula mengesahkan
yang Presiden PKR itu "telah mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat
yang didakwa memberi sokongan kepada beliau."
6. Walau bagaimanapun, tambah kenyataan itu,
Anwar tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan
dakwaan tersebut. (Rujuk kenyataan penuh di bawah).
7. Sementara itu, saya difahamkan oleh satu
sumber kanan PKR bahawa ketua-ketua parti DAP, Amanah dan PKR dalam surat
mereka ada menyebut jumlah ahli yang sokong tapi tidak menyebut nama.
8. Dia mendakwa surat daripada Presiden Umno,
Ahmad Zahid Hamidi, menyebut bahawa sejumlah Ahli Dewan Rakyat Umno menyokong
Anwar.
9. Tambahnya lagi, ada Ahli Dewan Rakyat yang
secara individu telah membuat akuan bersumpah menyokong Ahli Parlimen Port
Dickson itu.
10. Dalam perkembangan berkaitan, veteran
Umno Tengku Razaleigh Hamzah menghadap Seri Paduka Baginda sebelah petang.
Laporan media mengatakan Seri Paduka Baginda akan juga menerima menghadap ketua
beberapa buah parti politik.
11. Jadi nampaknya sesiapa saja yang berminat
dengan babak-babak seterusnya kenalah bersabar.
Wallahuaklam. Terima kasih.